Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 16, 2015

KUANTAN: KENAL PASTI PELAJAR BERBAKAT


Kenal pasti pelajar berbakat


Pihak sekolah diminta agar mengenal pasti pelajar sama ada di peringkat menengah mahu pun rendah yang berbakat, berpotensi dan berdaya saing dalam bidang sukan untuk diketengahkan.

Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Suhaimi Sulong berkata, rugi seandainya ada bakat yang terpendam dan berpotensi tidak di ketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk, sekali gus membantu pelajar untuk mencipta kejayaan termasuk dalam bidang sukan.

“Pihak sekolah sudah boleh kenal pasti mereka melalui aktiviti sukan di peringkat sekolah lagi dan membuka peluang kepada mereka untuk mencuba sehingga peringkat seterusnya yang mana bukan sahaja baik untuk dirinya malah mampu mengharumkan nama sekolah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Sejenak Mengenal Logomu Jubli Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengetua SMK Alor Akar, Mokhtar Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Roslan Abidin.

Menurutnya, pihak sekolah wajib merujuk sama ada kepada Kementerian Belia dan Sukan atau Jabatan Pendidikan Negeri untuk membantu pelajar-pelajar yang berpotensi agar mereka berada di tahap yang cukup kompetitif.

“Rujukan tersebut boleh dilakukan sama ada untuk mendapatkan dana atau khidmat nasihat bagi membantu mereka mencapai tujuan sebenar dan berada di tahap yang baik.

“Mereka ini wajar diberikan peluang sekiranya mereka benar-benar berbakat dan berpotensi tinggi bukan sahaja membantu mengharumkan nama sekolah bahkan negara,” katanya.

Sementara itu, katanya, potensi dan bakat pelajar SMK Alor Akar juga telah dilihat melalui penglibatan mereka dalam bidang sukan dan kokurikulum sehingga memperoleh kejayaan terutama dalam sukan boling, squash dan badminton.

“Ini dapat dikembangkan lagi dengan adanya pelajar mereka yang boleh dijadikan contoh, Sudesh Khanar yang berjaya mendapat tempat keenam dalam ‘Doha International Open’ dan Wong Xi Zuan di peringkat kebangsaan dalam sukan badminton.

“Diharap perkara seumpama itu dipandang serius dan sudah pastinya di peringkat kementerian pun tidak mahu pelajar yang ada potensi kecemerlangan terutama dalam bidang sukan disia-siakan begitu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi sambutan Jubli Emas yang bakal disambut warga SMK Alor Akar Februari depan, mereka harus mempunyai rasa bangga terutama dengan tahap kemajuan dan kecemerlangan yang sudah dicapai.

0 comments:

share2