Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 5, 2015

KUANTAN: PENDUDUK MINTA PANTAU FLAT PAK MAHAT


Pantau flat Pak Mahat


Penduduk perumahan flat kos rendah Pak Mahat di kawasan Tanjung Lumpur di sini, meminta pihak berkuasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan penempatan itu kerana beberapa unit rumah kosong dijadikan lokasi maksiat oleh golongan remaja.

Penduduk yang hilang sabar dengan kegiatan itu meminta pihak berkenaan campur tangan segera bagi memastikan gejala sosial yang boleh merosakkan remaja bertambah serius.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka beberapa kali terserempak dengan aktiviti tidak bermoral remaja terbabit seperti melakukan zina dan menghisap dadah di rumah kosong yang terletak di tingkat tujuh dan lapan flat berkenaan.

Selain itu, katanya, remaja terbabit yang tidak diundang kehadirannya telah membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman penghuni di situ dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.

“Golongan remaja ini biasanya akan menumpukan di beberapa unit rumah kosong di tingkat tujuh dan lapan yang dijadikan tempat untuk mereka melakukan aktiviti tidak bermoral seperti berzina, menghidu gam dan maksiat.

“Pernah penduduk di sini terserempak beberapa kali dengan pasangan remaja yang bercumbu di tempat terbuka, menghisap dadah dan lebih parah, ada yang berzina,” katanya ketika ditemui di flat berkenaan semalam.

Menurutnya, kebanyakan remaja terbabit melakukan aktiviti tidak sihat itu pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Saya percaya keadaan ini berlaku disebabkan oleh kurang pemerhatian daripada ibu bapa, pengawal keselamatan juga tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya kerana bimbang diancam,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sikap kurang ajar terhadap penghuni yang lebih tua di situ apabila perbuatannya ditegur, malah ibu bapa turut menyebelahi perbuatan anak mereka.

“Bila saya menegur perbuatan anak-anak mereka, ibu bapa remaja berkenaan akan datang dan menyerang kita di rumah dengan menghentak pintu jeriji dan cuba memecahkan pintu.

“Saya tidak faham dengan sikap ibu bapa sanggup menyerang orang lain semata-mata teguran kita melarang anak mereka melakukan perbuatan tidak sihat,” katanya.

Jelasnya, selain itu terdapat rangka motosikal di kawasan ini menyebabkan beliau khuatir wujudnya jenayah motosikal curi yang dilakukan di kawasan ini.

“Boleh saya katanya ada beberapa motosikal dalam keadaan rangka yang dibawa masuk oleh orang luar dan melakukan aktiviti di sini.

“Saya bimbang jika ia berlarutan tidak mustahil anak muda di flat ini akan terlibat sama dengan jenayah sedemikian,” katanya.

Penduduk kurang kesedaran 

Pertama kali mengunjungi flat ini agak terkejut terdapat individu mencampakkan sampah sarap dari tingkat tujuh boleh mengundang kecelakaan kepada individu yang melalui kawasan itu.

Seorang lagi penduduk di flat tersebut, lebih mesra dengan gelaran Mira memberitahu tindakan mencampak sampah dari tingkat atas ke bawah adalah satu perkara biasa di kalangan penduduk di sini.

“Ini budaya biasa bagi mereka, bukan berlaku pada hari ini sahaja tetapi telah lama berlarutan sejak flat ini berpenghuni. Bukan setakat sampah sarap, tetapi ada juga yang suka membuang air besar atau kencing merata-rata termasuk di dalam lift,” katanya.

Katanya, bunyinya amat jijik, hakikatnya inilah budaya yang diamalkan di flat ini selain sikap mementingkan diri sendiri dan sukar untuk ditegur.

“Kalau kita tegur perbuatan mereka macam-macam perkara akan berlaku kepada yang membuat teguran. Saya sedih kerana tiada kesepakatan di kalangan penduduk di sini dan lebih suka berpuak-puak.

“Sampai bila cara hidup begini hendak diamalkan sedangkan kehidupan di flat ini jauh berbeza dengan kehidupan setinggan berbanding dua atau tiga tahun lalu,” katanya.

Di samping itu, wanita ini menjelaskan kebanyakan rumah kosong juga dijadikan kawasan pembuangan sampah dan akan menyusahkan penghuni baharu yang akan masuk nanti.

Katanya, rata-rata penduduk di sini, malas untuk membuang sampah dan membersihkan kawasan flat kerana menanggap bayaran RM25 yang diberikan kepada pihak pengurusan adalah untuk tujuan kebersihan.

MPK minta penduduk buat laporan polis

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) meminta agar penduduk membuat laporan kepada pihak polis sekiranya terdapat jenayah dan gejala sosial seperti didakwa penduduk flat tersebut.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nurul Sulaiman berkata sekiranya ada laporan polis berhubung dakwaan itu, memudahkan pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dijalankan.

“MPK hendak tengok kawasan mana dan ada laporan polis atau tidak. Ini kerana MPK telah banyak keluarkan kos yang banyak dan tidak putus-putus MPK terapkan unsur positif penghuni di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, MPK akan membuat rondaan dan pemantauan di flat kosong yang didakwa menjadi aktiviti tidak sihat di kalangan remaja.

“Dalam hal ini, penduduk dan pengawal keselamatan flat berkenaan perlu memberi kerjasama dalam menjalankan rondaan di kediaman kosong.

“Jika ada sebarang kegiatan tidak sihat mereka boleh membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata tidak adil hanya mengalahkan MPK semata- mata sedangkan masalah yang berlaku disebabkan sikap penghuni flat berkenaan.

“Penghuni perlu ada sikap tanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan flat dan tidak hanya bergantung kepada pengurusan flat semata-mata dalam soal kebersihan.

“MPK sebelum ini telah memberikan banyak pendedahan kepada mereka terutamanya soal kebersihan menerusi program gotong-royong dan sepatutnya mereka mempraktikkan perkara ini dalam kehidupan seharian,” katanya.

1 comments:

  • AiemanFriends says:
    May 25, 2016 at 3:19 PM

    Siapa ADUN situ? Sedarlah jawatan tu adalah amanah.Satu lagi dinegara ni ada satu fahaman "puak". Iqtikad pendirian golongan ini tidak kenal umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah adalah saudara seagama. Ini satu keadaan yang amat bahaya dalam komuniti umat Islam. Tak usah letak orang bukan Islam dalam menjaga mukim..letak yang jenis berfahaman ini juga menyusahkan komuniti Islam tu sendri. Nota: " golongan ini ada " . Mana yang jelas hati2..yang tak jelas renung2kan tabii puak jenis mcm ni. Wallahua'lam.

share2