KUALA LUMPUR, 30 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa lebih ramai peniaga mencontohi pasaraya Mydin yang memutuskan untuk menyerap enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata langkah Mydin itu disambut baik kementerian kerana dapat membantu menjayakan inisiatif yang diambil kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara.
"Ini yang kita alu-alukan kepada peniaga yang memikirkan kepentingan negara diutamakan lebih daripada keuntungan sendiri.
"Ini diharapkan akan menjadi contoh kepada peniaga lain. Pada saya apa sahaja tindakan yang kerajaan ambil melalui CBP adalah sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memuat naik iklan yang dikeluarkan Mydin melalui laman Twitternya mengenai penyerapan CBP yang bakal dilaksanakan secara sukarela oleh syarikat runcit itu apabila CBP dilaksanakan Rabu ini.
Ditanya mengenai kemungkinan syarikat lain mengikut jejak langkah Mydin, Hasan berkata beliau lebih mengalukan syarikat berkenaan mengumumkan sendiri pendirian masing-masing.
Beliau berkata melalui pertemuan antara KPDNKK dan beberapa wakil industri baru-baru ini, persetujuan pematuhan agar tidak menjadikan CBP sebagai alasan memanipulasikan harga dan tidak menaikkan margin keuntungan bersih mulai 2 Jan 2015 hingga 30 Jun 2016, telah dicapai.
Katanya, antara wakil yang hadir ialah Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dan Persatuan Peruncitan Malaysia (MRA).
"Ini amat digalakkan sebagai tanda sokongan kepada CBP berkat penglibatan yang dibuat kerajaan secara dari hati ke hati," katanya.
Mengulas mengenai aduan pengguna mengenai beberapa barangan keperluan asas yang dilaporkan tiada stok di pasaran, Hasan menasihatkan pengguna melaporkan segera kepada KPDNKK di talian bebas tol 1-800-886-800.
Dalam pada itu, beliau berkata aplikasi MyKira GST yang diperkenalkan KPDNKK juga membantu rakyat memantau harga barangan yang dimanipulasikan selepas cukai itu dilaksanakan.
"Kita juga akan lancar Pusat Gerakan Anti Pencatutan petang ini bagi memudahkan media dan orang ramai mengetahui maklumat terkini mengenai aduan serta tindakan yang diambil kementerian terhadap peniaga yang mengambil kesempatan," katanya.
0 comments:
Post a Comment