Kuala Nerus – Kerajaan negeri akan memastikan perkhidmatan bas percuma yang dilaksanakan melalui syarikat Cas Ligas Sdn Bhd tidak akan mengakibatkan pendapatan pengusaha teksi terjejas.
Jaminan itu dibuat Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, di mana beliau juga turut mengarahkan syarikat berkenaan mengenal pasti laluan perkhidmatan supaya tidak mengganggu perjalanan teksi di bandar raya ini.
“Tidak dapat dinafikan ada segelintir pihak terutamanya pengusaha teksi yang bimbang pendapatan mereka terjejas sekiranya perkhidmatan bas secara percuma ini dibuat.
"Mereka tidak perlu khuatir kerana saya telah minta Cas Ligas untuk kenal pasti laluan supaya tidak berlaku pertindihan," katanya.
Kata Ahmad Razif, kerajaan negeri tidak mahu dengan kewujudan perkhidmatan bas percuma ini akan mengakibatkan pendapatan pihak lain terjejas.
"Kita sememangnya tidak mahu perkara ini berlaku kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan kehendak dan keperluan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di SK Tok Jembal, di sini.
Katanya, perkhidmatan bas bandar percuma itu akan memberi lebih fokus di kawasan pelancongan tumpuan ramai seperti Muzium Negeri, Pantai Batu Burok, Taman Tamdun Islam (TTI) dan sebagainya.
“Selain untuk membantu meringankan beban penduduk pinggir bandar, perkhidmatan bas percuma ini secara tidak langsung turut berupaya merancakkan lagi kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.
“Kita harap usaha yang dilakukan akan mendatangkan faedah kepada semua pihak kerana kita sedia maklum bahawa kebanyakan pelancong luar sukar untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain kerana tidak mahir dengan jalan, namun
dengan adanya perkhidmatan bas ini akan memudahkan lagi mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif turut memaklumkan kerajaan telah mengemukakan cadangan untuk menggunakan bas bertingkat seperti yang digunakan di luar negara bagi memberi kemudahan untuk pelancong menikmati pemandangan negeri ini.
0 comments:
Post a Comment