Sungai Siput - Seorang pekerja di pusat pengumpulan balak maut selepasditimpa kayu tersebut dalam kejadian yang berlaku di di Intan Suraya, Karai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mior Zaki Hamzah, 38,dari Sungai Sejuk, di sini, sedang melakukan kerja mengikat rantai diatas lori sebelum satu daripada kayu balak jatuh dan menimpanya.
Menurutnya, kejadian itu disedari penyelia mangsa yang kemudianbertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
“Mangsa bagaimanapun mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih diteruskan.
Sementara itu, Adun Lintang, Datuk Zolkafly Harun menzahirkan rasa sedih dan takziah di atas pemergian arwah yang dianggap sebagai seorang lelaki bertanggungjawab.
Menurutnya, Mior Zaki juga dijangka melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya pada 28 Disember nanti namun hajatnya tidak kesampaian.
Beliau berkata, Allahyarham menjadi ketua keluarga selepas pemergian bapanya beberapa tahun lepas dan kehilangannya pasti dirasai keluarganya.
“Selepas arwah ayah Mior Zaki meninggal dunia, dia yang menjaga keluarga hinggakan dia kahwin lambat kerana menjaga ibunya dan adik-adiknya yang lain.
“Saya agak mengenali arwah kerana dia juga merupakan anak buah saya. Pada saya, arwah merupakan seorang yang baik dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi selepas melawat keluarga mangsa, semalam.
Zolkafli juga sempat melawat keluarga mangsa di Kampung Sungai Sejuk, semalam, dan menyalurkan sedikit sumbangan kepada keluarga arwah.
“Kita ada memberikan sedikit wang kepada keluarga arwah sebagai tanda simpati dan kita juga bersedih dengan kehilangan arwah.
“Saya harap keluarga mangsa bersabar dan reda dengan apa yang terjadi. Saya faham dengan kesedihan mereka apatah lagi kehilangan ketua keluarga," katanya.
0 comments:
Post a Comment