Dua lelaki berusia lingkungan 30-an diberkas berhubung kes cubaan pecah dan curi sarang burung dekat sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Abd Razak Abd Majid berkata, tangkapan pertama dilakukan ketika anggota polis membuat rondaan cegah jenayah di kawasan bangunan sarang burung belakang Wisma Dato Wong Chek Cho, kira-kira jam 3.20 petang.
Menurutnya, seorang lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan di bangunan tersebut dan cuba melarikan diri apabila dihampiri anggota polis.
“Lelaki terbabit berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai peralatan dipercayai untuk pecah dan curi sarang walit.
“Antaranya mesin, mata dan pembuka pemotong besi, tangga serta satu beg berisi sarang walit.
“Penahanan lelaki ini berjaya membawa kepada tangkapan seorang lagi rakan suspek di sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut dengan kerjasama orang awam, “katanya.
Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati dua suspek itu baru pertama kali dipercayai melakukan jenayah curi sarang walit.
Menurutnya, difahamkan harga pasaran sarang walit kini mencecah RM800 sekilogram berikutan permintaan tinggi.
“Pihak polis menghargai kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat dan akan lebih kerap melakukan rondaan cegah jenayah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment