Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 20, 2015

KUANTAN: PESAKIT KRONIK RAYU BANTUAN


Pesakit kronik rayu bantuan


Bukan sahaja menderita akibat pelbagai kompilasi penyakit, tetapi seorang tukang paip kini hanya mampu mengengsot sejak setahun lalu.

Ab Mubim Muda, 58 berkata, dia kini menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan gout hanya mampu bergantung kepada ubat untuk terus hidup.

Menurutnya, dia juga kini terpaksa menyuntik insulin dua kali sehari kerana tahap bacaan kencing manis yang tinggi.

“Saya buntu kerana permohonan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) gagal walaupun sudah tiga kali memohon.

“Dengan bantuan tersebut, sekurang-kurangnya lepas belanja ubat dan lampin pakai buang , manakala duit isteri boleh digunakan untuk belanja keperluan rumah,” katanya yang tinggal di Taman Zurina dekat Jalan Wong Ah Jang di sini.

Isteri Ab Mubim, Che Wan Rasinah Wan Sidek, 49, bekerja sebagai tukang masak di gerai makan dekat Pasar Besar dengan pendapatan RM40 sehari.

“Dulu suami saya langsung tidak boleh bergerak, nak makan bersuap, nak ke tandas dipapah dan setiap kali kita terpegang badan, dia akan merintih sakit kerana bisa-bisa badan.

“Alhamdulillah, kini walaupun sakit, dia mampu gerakkan tangan manakala, kaki masih lagi lemah dan perlu mengengsot untuk ke mana-mana,” katanya.

Selain itu, mereka juga berdepan dengan masalah bil elektrik dan air yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu, manakala pihak bank juga sudah memberikan amaran supaya membayar pinjaman rumah.

“Oleh itu, saya berharap bantuan daripada JKM dan pihak lain dapat disalurkan untuk meringankan beban kami ini,” katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maybank (106099136904) atas nama Ab Mubim Muda.

0 comments:

share2