Taiping – Seorang lelaki yang mahu melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah terkejut apabila menjumpai mayat pemilik kediaman itu terbaring di atas katil di Taman Seri Hijau, di sini semalam.
Murugan, 30-an berkata, tiga bulan sekali dia akan datang ke rumah tersebut untuk membersihkan kawasan sekitar.
Menurutnya, kali terakhir dia datang ke kediaman berkenaan ialah pada Ogos lalu.
"Hari ini (semalam) saya datang dan cuba panggil pemilik rumah tetapi tiada jawapan.
“Disebabkan bimbang perkara buruk terjadi, saya cuba untuk masuk ke rumah berkenaan namun pintunya berkunci,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di sini, semalam.
Murugan berkata, sebaik sahaja membuka pintu, dia melihat mayat pemilik rumah tersebut terbaring di atas katil, manakala seekor anjing berada di sisi mangsa.
Menurutnya, dia segera menghubungi polis bagi memaklumkan penemuannya itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi berkata, seorang lelaki menjumpai mayat mangsa pada kira-kira jam 5 petang semalam.
Mangsa terbabit dikenali sebagai Yap Kwai Lim dan berusia 77 tahun.
"Menurut saksi, mangsa mungkin meninggal dunia pada hari tersebut (semalam) kerana keadaan mayat yang masih baik dan tidak berbau.
“Mangsa dipercayai tiada ahli keluarga lain kerana tidak berkahwin dan tinggal seorang diri di rumah dengan hanya ditemani seekor anjing peliharaan,” katanya.
Ismail berkata, Kwai Lim dipercayai mempunyai masalah kesihatan kerana terdapat beg plastik yang digunakan untuk membuang air kecil dan besar ditemui di kediamannya.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan dia didapati meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.
Beliau berkata, tiada unsur jenayah ditemui berhubung kematian mangsa dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
0 comments:
Post a Comment