Temerloh - Tiada apa dapat diungkapkan, hanya tergamam dan hampir pengsan melihat keadaan dalam rumahnya setelah 100 peratus barangan musnah akibat ditenggelami bah besar selama 9 hari.
Hamidah Said, 58, yang pulang ke rumah pusakanya di Kampung Paya Dalam di sini, selepas bersama sembilan ahli keluarganya berpindah menyelamatkan diri ke rumah anaknya di Taman Sri Semantan kira-kira empat kilometer dari kampungnya.
“Tapi yang paling saya sedih apabila satu almari besar koleksi kitab-kitab agama yang saya kumpul sejak dari muda, habis musnah dan terpaksa dihumban begitu saja. Bagi saya kain baju dan perabot boleh ditukar ganti, tapi kitab nak cari semula susahlah,” katanya.
Kampung Paya Dalam yang terletak di pinggir jalan Temerloh ke Mentakab antara paling rendah dari aras sungai menyebabkan sekitar 49 rumah di situ lebih awal tenggelam dan paling lewat surut berbanding kawasan lain.
“Pada petang hari Jumaat (26 Disember) itu saya masih ingat, air naik dengan pantas. Pada mulanya kami sekeluarga cuba untuk bertahan tapi dalam tempoh beberapa jam sahaja air yang pada mulanya hanya melimpah di halaman mula memasuki rumah.
“Lalu kami mengambil keputusan untuk menyelamatkan nyawa bersama dokumen-dokumen penting dengan segera berpindah menggunakan bot ke rumah anak saya di Taman Sri Semantan,” katanya.
Hamidah berkata, seingatnya ini adalah banjir kedua terbesar di daerah ini selepas bah besar 1970-1971. Rumahnya pernah dinaiki air pada bah 1988 tetapi tidak seperti baru-baru ini yang menenggelamkan kira-kira dua meter dalam rumahnya.
Menurutnya, itu pun air Sungai Semantan tidak besar kerana tiada banjir di Bentong.
“Jika tidak, saya percaya bah kali ini lebih besar daripada bah 1970-1971,” katanya.
Temerloh merupakan daerah paling teruk terjejas setelah pusat bandarnya karam dalam bah besar baru-baru ini ekoran air banjir dari daerah Jerantut dan Lipis turun. Berikutan itu lebih 22,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Kebanyakan penduduk terpaksa menanggung kerugian harta benda dan kerosakan kediaman masing-masing dalam bencana alam kali ini.
Pada ketika ini ramai sukarelawan dari luar selain petugas tempatan bertungkus-lumus membersihkan premis awam dan rumah penduduk.
0 comments:
Post a Comment