Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 8, 2015

PELAN BANTU PENIAGA PESISIR SUNGAI PAHANG




TEMERLOH, 8 Jan - Kerajaan akan menyediakan pelan bantuan jangka pendek dan panjang bagi membantu peniaga di pesisir Sungai Pahang yang hilang mata pencarian akibat musibah banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu akan disegerakan agar peniaga terbabit mendapat kembali sumber pendapatan mereka sekali gus membina semula kehidupan mereka seperti sedia kala.

"Saya sudah meninjau banyak tempat, kemusnahannya agak luar biasa dan ini adalah satu dugaan daripada Allah...dari sudut kerajaan kita tidak memandang rendah perkara ini.

"Bagi peniaga ikan patin dan talapia mungkin Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani boleh bagi bantuan benih ikan.

"Begitu juga agensi-agensi berkaitan seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar boleh bagi pinjaman kepada mangsa untuk memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir," katanya ketika berucap pada majlis gotong royong membersihkan rumah mangsa banjir di Taman Sri Lebak, di sini, Khamis.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Seri Noorainee Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Muhyiddin turut menasihatkan agar mangsa banjir tabah menghadapi bencana alam itu dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah SWT.

"Kerajaan bagaimanapun tidak akan mengambil ringan apa yang terjadi, dianggarkan 300,000 rakyat negara ini terjejas akibat bencana banjir yang melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor, Perak dan Sabah.

"Ini jumlah yang paling besar dalam sejarah...Insya-Allah kita akan tangani masalah ini hingga selesai," katanya.




0 comments:

share2