Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 21, 2015

MANGSA BANJIR DIJANJIKAN RUMAH PPR


Sebanyak 1,000 unit rumah PPR yang telah siap dibina.


Gua Musang - Hampir 200 keluarga yang ditempatkan di dua penempatan sementara mangsa banjir, di sini, sejak seminggu lalu, kini mampu menarik nafas lega apabila mereka dijanjikan penempatan selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dua penempatan sementara itu ialah di Bandar Utama dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani.

Mereka ketika ditemui mengalukan-alukan penempatan baharu di PPR itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam, untuk mengatasi masalah penempatan mangsa banjir yang kehilangan rumah.

Dalam perutusan khas mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Ekonomi Negara di ibu negara pagi semalam, Najib mengumumkan mangsa banjir di Gua Musang boleh ditempatkan di 1,000 unit rumah PPR yang siap dibina.

Seorang mangsa banjir yang tinggal di khemah penempatan sementara di Bandar Utama, Mohd Zakari Razali, 42, berkata, dia sekeluarga menerima apa sahaja keputusan kerajaan untuk membantunya.

Menurutnya, dia akan tinggal di khemah itu sementara menunggu keputusan tepat berhubung penempatan baharu yang lebih selesa sama ada di rumah PPR itu atau rumah lain.

Katanya, mangsa banjir tidak mampu untuk membina rumah sendiri berikutan kos tinggi dan tidak ada tapak kerana selama ini mereka tinggal di kawasan setinggan, di Kampung Tiong.

“Kita tidak ada halangan jika kerajaan memutuskan untuk kami tinggal di rumah PPR itu, tapi kalau boleh tidak ada sebarang bayaran kerana kami tidak mampu untuk berbuat demikian.

“Saya dimaklumkan sebelum ini akan diberi rumah secara percuma, tetapi tidak tahu pula dijanjikan rumah PPR itu yang setahu saya dikenakan bayaran setiap bulan,” katanya.

Mariiana Zainudin, 32, pula mengharapkan kerajaan menyediakan rumah tanpa dikenakan bayaran kerana tidak mampu untuk berbuat demikian setiap bulan dan banyak lagi perbelanjaan diperlukan.

0 comments:

share2