Kuantan - Kerajaan United Arab Emerates (UAE) melalui Persatuan Bulan Sabit Merah UAE (PBSM UAE) memperuntukkan lebih kurang RM600,000 nilai sumbangan kepada kira-kira 3,000 mangsa banjir di beberapa kawasan Kuantan dan Pekan, semalam.
Pegawai PBSM UAE, Muhammad Yusuf Muhammad Alhamadi berkata, sumbangan tersebut diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang untuk diagihkan.
“Kami hanya menyediakan barangan dan pengagihannya dilakukan menerusi kerjasama pihak JKM yang akan mengagihkan barangan ikut keperluan mangsa itu sendiri.
“Penyerahan ini sudah memasuki fasa ketiga bagi tahun ini dan ia meliputi barangan keperluan rumah yang mana pihak JKM telah membantu untuk mengenal pasti kerugian dan barangan yang diperlukan mangsa.
“Sebelum ini, pada fasa pertama kami telah memberi sumbangan lapan buah bot yang diserahkan kepada kerajaan negeri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta diikuti fasa kedua kira-kira 500 kotak makanan telah diagihkan ketika mangsa sedang menghadapi musibah itu.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Kompleks Penyayang, JKM, dekat sini, semalam.
Menurutnya, pengagihan sumbangan akan diteruskan lagi pada masa akan datang mengikut keperluan diperlukan dari masa ke semasa.
“Bantuan seumpama ini tidak akan terhenti di sini sahaja tetapi akan berterusan selagi masih ada keperluan yang diperlukan mangsa banjir di Pahang ini.
“Kami tak hanya beri bantuan kepada mangsa di Kuantan dan Pekan, malah meliputi seluruh Pahang. Namun, secara berperingkat melalui pihak JKM.
“Pada mulanya kami ingin berikan sumbangan dan bantuan dalam bentuk makanan namun setelah melihat barangan makanan sudah banyak diterima oleh mangsa, jadi kami menukarkannya dalam bentuk perabot dan peralatan rumah seperti sofa, almari baju, set meja solek, katil, tilam dan banyak lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Pahang, Datuk Shamsiah Hussin berkata, pihakya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam kerja-kerja pengagihan tersebut bagi membantu melancarkan lagi usaha mereka.
“Pengagihan kali ini hanya meliputi kawasan yang agak kritikal di Kuantan dan Pekan yang mana telah dilawati sendiri oleh wakil UAE antaranya Kampung Semangat, Kampung Ubai, Kampung Cherok Paloh dan Kampung Pahang," katanya.
0 comments:
Post a Comment