Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 18, 2015

KUANTAN: 150 RUMAH BAHARU UNTUK MANGSA BANJIR DI PAHANG


Datuk Seri Adnan Yaakob


Kuantan - Sebanyak 150 rumah kekal baharu akan dibina untuk mangsa banjir di Pahang yang mengalami kemusnahan kediaman seratus peratus dalam bencana itu baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya sedang meneliti kaedah yang bersesuaian bagi pembinaan kediaman tersebut yang tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Kita kena cari kaedah baharu, saya lihat rumah peneroka Felda pada zaman dahulu boleh siap sehingga tiga buah rumah dalam masa sehari tetapi kita kena tengok juga kesesuaiannya pada masa ini.

"Walaupun kita bina rumah gaya Felda, kita akan pastikan ia mempunyai bilik secukupnya untuk sebuah keluarga, binaan kayu sepenuhnya atau separuh kayu dan separuh konkrit dengan anggaran sebuah rumah RM25,000 hingga RM30,000," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang terlibat membabitkan penduduk di daerah Lipis, Bera, Temerloh, Maran, Jerantut, Pekan dan Rompin.

Adnan berkata, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai dan selamat bagi pembinaan rumah kekal tersebut.

"Semasa meninjau dari udara ketika banjir baru-baru ini, saya lihat kawasan alternatif untuk rancangan penempatan mangsa pun dilanda banjir seperti Temerloh, Maran, Chenor dan Pekan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa tempat di Lipis dan Jerantut dilihat ada potensi untuk pembinaan penempatan atau kampung baharu kerana tidak berisiko dinaiki air.

Katanya pembinaan kediaman itu akan disegerakan sebaik sahaja data mengenai perkara itu dibawa ke mesyuarat exco pada minggu hadapan untuk diputuskan.

0 comments:

share2