Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 26, 2015

KUANTAN: TERBONGKAR IDENTITI INDIVIDU DIKEHENDAKI POLIS


Sekatan jalan raya di Jalan Tok Sira berjaya menahan lelaki yang dikehendaki berhubung kes dadah.


Kuantan - Akibat gagal menunjukkan pengenalan diri, seorang penunggang motosikal terpaksa menjawab pertanyaan daripada polis yang melakukan sekatan jalan raya awal pagi semalam.

Tindakannya yang cemas dan tergagap ketika di soal polis membongkar identiti sebenarnya sebagai individu yang dikehendaki atas kesalahan memiliki dadah.

Ketika sekatan pada jam 1 pagi di Jalan Tok Sira dekat sini, anggota polis mengarahkan lelaki berkenaan memberhentikan motosikal selepas dilihat menunggang dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, lelaki berusia 27 tahun dari Bukit Setongkol itu dikehendaki kerana kesalahan memiliki dadah dua tahun lalu.

“Dia memberhentikan motosikal selepas ditahan polis tetapi gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan dalam keadaan mencurigakan,” katanya di sini.

Katanya, bagi membantu siasatan, lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Bagaimanapun, katanya, selepas siasatan lanjut mendapati lelaki itu dikehendaki polis kerana kes dadah.

Selain itu, katanya, operasi yang diketuai Deputi Superintendan Zaidi Mat Zin berjaya mengeluarkan sepuluh saman kepada pesalah lalu lintas termasuk ubahsuai kenderaan, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Beliau berkata, operasi kira-kira lima jam yang bermula jam 12 malam menyasarkan laluan yang sering menjadi lokasi samseng jalanan berlumba dan memandu secara melulu.

“Kita mensasarkan lokasi panas yang sering dijadikan sebagai litar lumba samseng jalanan sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kekerapan melakukan sekatan jalan raya dan rondaan pada hujung minggu berjaya mengekang jenayah jalanan di bandar ini.

0 comments:

share2