Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 27, 2015

KUANTAN: PEKA LANGKAH PENCEGAHAN DENGGI


Kuantan – Penduduk kampung di sekitar kampung Galing dan Lorong Seri Kuantan memandang serius langkah-langkah pencegahan denggi bagi mengelakkan jumlah kes dilaporkan semakin meningkat di negeri ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lorong Seri Kuantan, Datuk Chang Hong Seong berkata, walaupun tiada sebarang kes serius yang dilaporkan Pejabat Kesihatan Negeri terhadap penduduk di kampung ini berhubung wabak berkenaan, tetapi langkah berjaga-jaga diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Kita belum menerima kes kematian membabitkan denggi di kawasan ini, bagaimanapun kita akan berusaha memberi pendedahan kepada penduduk supaya menjaga kebersihan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, salah satunya adalah aktiviti gotong-royong sebanyak dua kali bagi membersihkan kawasan perkampungan itu selepas penularan wabak itu.

“Namun pada kali ini, saya jangkaan program sama akan diadakan dalam usaha membasmi nyamuk penyebab denggi,” katanya.

Hong Seong memberitahu beliau bersama ahli KRT akan berganding bahu untuk menjaga kebersihan kampung itu dengan meminta penduduk agar membuang sampah secara sistematik dan tidak membiarkan air bertakung.

“Saya percaya menerusi kaedah tersebut mampu mengelak daripada wabak denggi dari terus menular di kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa mengenai denggi dengan pihak kesihatan negeri ini.

Seorang lagi, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Galing Besar, Abdul Ghaffar Hamzah berkata pihaknya akan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Negeri dan meminta pandangan mereka untuk mengatasi penularan wabak ini selain mengadakan gotong-royong.

0 comments:

share2