Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 30, 2015

KUANTAN : PAHANG KERUGIAN RM610 JUTA AKIBAT BANJIR

PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA... 
Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memperkatakan sesuatu sambil Dato' Sri Ismail; 
serta Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali) 
dan Dato' Mohd Arif memerhatikan.


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, BLOK B, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kira-kira RM610 juta! Inilah anggaran kerugian akibat banjir yang dialami di seluruh negeri ini akhir tahun lepas.

Yang daripadanya, kerugian membabitkan prasarana asas seperti jalan dan jambatan ialah kira-kira RM348.5 juta; manakala kerugian babitkan aset, prasarana serta hasil berkaitan pertanian ialah kira-kira RM65.15 juta.

Dan daripada 65.15 juta ini pula, kerugian terbesar ialah dari ternakan, kira-kira RM14.239 juta; disusuli akuakultur termasuk penternakan ikan dalam sangkar, kira-kira RM12.351 juta; dan buah-buahan, kira-kira RM9 juta.

Angka-angka anggaran ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan media tengah hari Khamis, 29 Januari di sini.

Mereka sebelum itu, telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir Negeri Pahang, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mohd Arif Ab Rahman.


MENYEMAK BUTIRAN... Bersandarkan butiran dan maklumat yang ada, 
Dato' Sri DiRaja Adnan mengumumkannya dengan Dato' Sri Ismail di sisinya. 


219 RUMAH MUSNAH PERLU DIBINA BAHARU SEMULA

Mesyuarat bermula pada 10 pagi dan berakhir kira-kira satu-setengah jam kemudian. 

“Yang saya nak sebut ini ialah, kita ada 219 buah rumah yang hilang, yang terpaksa dibuat baharu dan banyak juga rumah yang perlu dibuat kerja-kerja pembaikan.

“Ini kita akan lakukan juga dengan kadar yang segera, menggunakan dana dari Kerajaan Persekutuan, juga dana dari Tabung Bencana Negeri,”sepertimana kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media ini. 

Kesemua 219 rumah yang rosak teruk dan perlu dibina semula ini menurutnya, terletak di tujuh (7) daerah terbabit banjir iaitu di Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Rompin, dan, Kuantan.

Mengenai kos katanya, ia dianggarkan antara RM40,000 dan RM45,000 sebuah sepertimana spesifikasi sebuah rumah baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kerjaraya.


ALL SMILE... Tentu sesuatu yang menarik yang berlaku sehingga Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Ismail - kedua-duanya tokoh negeri, seorang wakili negeri dan seorang lagi persekutuan; tersenyum lebar. 

DAPAT HABUAN TUNAI RM10,000?

Dan pula katanya, ada kemungkinan Kerajaan mendapatkan perkhidmatan para pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kor Jurutera DiRaja, untuk membantu dalam pembinaan semula rumah-rumah baharu ini.

Tambahan kepada itu ialah, “… seperti yang kita bincang dalam mesyuarat tadi, Dato’ Sri Ismail Sabri ada menyebutkan, kita akan memberi bantuan mengikut dua (2) kategori; yang tak teruk dengan yang teruk.

“Yang teruk itu, mungkin sampai mencapai RM10,000 kita beri. Yang kurang teruk itu, mungkinlah kadar RM4, RM5,000 (untuk) sebuah rumah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau turut ditanya tentang prestasi jentera Kerajaan dalam menangani secara berkesan, kejadian bencana banjir kali ini yang menurutnya, “Kita dapati, mutu kerja atau prestasi, atau keberkesanan operasi banjir ini sangat memberangsangkanlah”.

Sementelah pula katanya, Kerajaan Negeri turut mendapat penghargaan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri serta juga Ketua Setiausaha Negara (KSN);

PENGHARGAAN DARAIPADA PM & TPM

“… memberitahu bahawa kita (Kerajaan Negeri serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkenaan) telah dapat mengendalikan bencana banjir dengan baik sekali.

“Sebab kita belajar dah banyak tahun. Tiap-tiap tahun kena banjir jadi setiap tahun itu kita menambah baik perkhidmatan kita, kerja kita,” katanya. 




0 comments:

share2