Kuantan - Seorang lelaki ditahan dalam satu operasi di Jalan Jaya Gading-Gambang kerana disyaki membawa mercun pelbagai jenis dalam kenderaan yang dipandunya, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam Ops bersepadu Cegah jenayah kira-kira jam 12.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, selepas pemeriksaan ke atas lori jenis Isuzu berkenaan, polis menemui beberapa kotak mencurigakan di dalam lori.
Menurutnya, ketika disiasat, lelaki itu mendakwa dia hanya mengambil upah membawa lori dari Kelantan dan berehat di Jaya Gading sementara menanti pemandu lain yang akan membawa lori berkenaan ke Johor Bharu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 138 kotak yang mengandungi mercun dibawa lori berkenaan,” katanya.
"Sehubungan itu, lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut manakala kenderaannya disita,” katanya.
Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, polis belum dapat mengenal pasti sama ada mercun berkenaan adalah bekalan untuk Tahun Baru Cina yang akan disambut Februari depan atau sebaliknya.
Dalam operasi sama, katanya, polis turut menahan lima lagi lelaki yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah iaitu tiga yang memiliki tiga peket syabu dan tujuh biji pil kuda, manakala ujian air kencing dua lagi didapati positif dadah.
Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Jalan Semambu, kawasan pencawang Sungai Isap, Jalan Pintasan Bukit Setongkol-Cenderawasih dan Jalan Tanjung Lumpur.
“Seramai 257 disaman dalam operasi itu manakala 26 motosikal disita kerana terlibat pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu dan ubah suai motosikal,” katanya.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu membabitkan 67 anggota 67 dan enam pegawai dengan kerjasama anggota Rela.
0 comments:
Post a Comment