Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 16, 2015

KUANTAN : BOMBA PAHANG MOHON TAMBAH ASET




Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan memohon kepada kerajaan untuk menambah bilangan aset termasuk bot dan lori bagi melancarkan kerja membantu serta menyelamat ketika banjir besar, seperti baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penambahan aset berkenaan penting selain keperluan aset tambahan seperti bot berkuasa tinggi dan lori lasak jenis Tetra yang amat sesuai ketika menghadapi musibah banjir.

“Lori itu boleh mengharungi banjir sedalam 1.5 meter dan dapat digunakan dalam menjalankan tugasan seperti memindahkan mangsa apabila banjir teruk.

“Lebih baik kita bersiap siaga dan mempunyai aset yang secukupnya bagi menghadapi bencana banjir pada masa-masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, 63 anggota JBPM dianugerahkan pingat manakala 12 anggota menerima kenaikan pelbagai pangkat.

Beliau berkata, bagi mempertingkatkan kemampuan jabatan itu kira-kira 60 buah bot (pelbagai jenis) dan 20 buah lori masih diperlukan untuk ditempatkan di setiap balai di seluruh Pahang.

Abdul Wahab turut memuji kerjasama semua pihak termasuk JBPM dari negeri lain sehingga semua operasi menyelamat dapat dijalankan dengan lancar walaupun dalam keadaan kekurangan.

“Sebanyak 71 buah bot dapat digerakkan untuk membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di sini baru-baru ini dengan bantuan JBPM dari Kedah, Johor, Pulau Pinang dan negeri lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya kini turut terlibat dalam Ops pasca banjir di daerah terjejas dengan membantu membersihkan rumah ibadat, sekolah dan kawasan komuniti terjejas. – BERNAMA

0 comments:

share2