Kulim - Dua rakan mendakwa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila terpedaya oleh orang tengah dalam aktiviti pelaburan urus niaga tukaran mata wang asing.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 34, berkata, dia mula terlibat dengan pelaburan urus niaga tukaran mata wang asing itu pada Disember 2013 melalui orang tengah yang baharu dikenalinya ketika sedang makan bersama rakan di sebuah restoran, dekat sini.
Menurutnya, perwatakannya yang baik dan boleh dipercayai telah mempengaruhinya membuat keputusan menyertai pelaburan tersebut.
“Saya pernah ikut dia balik ke rumahnya di kawasan perumahan sekitar bandar ini.
“Pada mulanya memang tak dinafikan saya dapat untung seperti yang dijanjikan sebanyak 30 hingga 40 peratus. Pulangan yang lumayan tersebut menyebabkan lima lagi rakan saya turut berminat menyertai pelaburan tersebut dengan mengeluarkan modal sebanyak
RM30,000,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad yang juga seorang kakitangan awam berkata, setelah hampir setahun menggunakan khidmat orang tengah akhirnya wang modal pelaburannya sebanyak RM165,000 yang diperoleh dari keuntungan aktiviti tersebut serta pinjaman peribadi daripada bank lesap begitu sahaja.
"Saya bukan saja perlu tanggung hutang, tetapi juga kena tanggung malu dengan kawan-kawan dan terpaksa guna duit sendiri untuk bayar semula kepada mereka.
"Saya juga mula sedar diri ditipu apabila pulangan keuntungan yang dijanjikan pada September tahun lalu tak diberikan dan apabila saya hantar SMS kepada orang tengah terbabit, langsung tak berjawab.
"Namun pada Oktober lepas saya ada berjumpa dan berbincang dengannya dan dia setuju membayar separuh dari modal saya, tetapi sekali lagi saya ditipu apabila menerima cek tendang sebanyak RM45,000 yang dihantar melalui pos," katanya.
Katanya, empat laporan polis dibuat terhadap suspek tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sejak Oktober tahun lalu.
“Isteri saya juga ada membuat laporan polis terhadap suspek, saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan segera kerana kita bimbang akan ada lebih banyak akan menjadi mangsa penipuannya,” katanya.
Sementara itu rakannya, Azahari, 52, berkata, kerana terlalu mempercayai orang tengah, dua lagi ahli keluarganya turut menyertai pelaburan tersebut dan mengalami kerugian sebanyak RM157,000 dalam sekelip mata.
Azahari yang juga kakitangan swasta itu berkata, dia mengalami tekanan perasaan apabila sering disindir ahli keluarganya selain terpaksa menanggung beban hutang.
“Saya memang tidak akan mempercayai lagi aktiviti pelaburan seperti ini.
“Saya juga kesal dan bersalah kerana mempengaruhi anak dan isteri saya untuk melabur sehingga mereka terpaksa melakukan pinjaman peribadi serta mengeluarkan wang simpanan,” katanya.
Menurutnya, walaupun pada permulaannya tidak dinafikan menerima pulangan keuntungan yang agak lumayan, namun pelaburan terakhir yang dilakukan pada Oktober tahun lalu telah lesap begitu saja.
“Apabila ditipu begitu, saya mula terfikir adakah dia memang melakukan aktiviti urus niaga tukar wang asing itu kerana sebelum ini dia tidak pernah menunjukkan carta pelaburan tersebut.
“Saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan segera kerana saya percaya dia masih bebas dan akan mengulangi perbuatan tersebut kepada mangsa baharu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment