Jakarta: Kapal MGS GeoSurvey berjaya menemui bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Laut Jawa, iaitu bahagian menempatkan kotak hitam dan data perakam penerbangan, kira-kira 10.30 pagi tadi.
Seorang daripada penyelam Tentera Nasional Indonesia (TNI) Major Dovlen berkata, bahagian ekor pesawat itu ditemui terjunam di dasar laut dengan kedalaman 35 meter.
“Kami percaya objek itu adalah ekor pesawat berkenaan yang menempatkan kotak hitam dan data perakam penerbangan.
“Malah, objek berkenaan menguatkan keyakinan kami berikutan tertera huruf IAA berwarna merah manakala badan objek berkenaan masih dalam keadaan licin dan baru. Ketika ini objek berkenaan masih diikat dengan tali," kata Dovlen ketika ditemui di atas Kapal MGS GeoSurvey, sebentar tadi.
Dovlen berkata, tulisan IAA itu sinonim dengan logo AirAsia.
Katanya, pakar pemetaan yang berada di Kapal MGS GeoSurvey menemui objek berukuran besar pada kedalaman 25 meter dengan koordinat 03.3839S (lintang Selatan) dan 109.4343E (bujur Timur).
Sementara itu, Ketua Misi Pemetaan Kapal MGS GeoSurvey, Muhammad Aga Ridha Aldila berkata, objek berkenaan berukuran 10 meter panjang, lima meter lebar dan 3 meter tinggi.
“Kedudukannya berbentuk segitiga menjunam ke dasar laut dan berada di kedalaman 25 meter di perairan Selat Karimata,” katanya.
Ketua BASARNAS Bambang Soelistyo dalam sidang medianya sebentar tadi turut mengesahkan penemuan objek berkenaan adalah ekor pesawat QZ8501.
“Berdasarkan gambaran diberikan tertera tulisan A, Z dan AIR. Ini menambah keyakinan kita objek berkenaan adalah ekor pesawat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment