Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 26, 2015

BENTONG: 'SIKAP SEBENAR MASYARAKAT MALAYSIA'


Wakil MCA Bahagian Cameron Highland menyerahkan 100 tilam kepada MIC Bahagian Bentong untuk diagihkan kepada mangsa banjir negeri ini.


Bentong - Meskipun banjir sudah hampir sebulan berlalu, namun pelbagai usaha bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat masih giat diteruskan.

Pengerusi MCA Cawangan Lurah Bilut, Yip Seng Lam berkata, sehingga kini masih ada ramai pihak yang sudi menghulurkan sumbangan tanpa mengira latar belakang parti.

“Terbaru pada minggu lalu, kami menerima sumbangan 100 buah tilam daripada MCA Bahagian Cameron Highland untuk mangsa banjir negeri ini. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Ketua Wanita MIC Bentong, R. Inbavally dan penyerahan terbabit turut disaksikan oleh saya dan Timbalan Ketua Umno Cawangan Lurah Bilut, Md Zulkifle Md Yunos,” katanya.

Tambahnya, bantuan berterusan ini merupakan satu tindakan wajar dan tanda prihatin warga masyarakat dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang mungkin terlepas pandang dari menerima sumbangan sebelum ini.

“Ia juga sebagai satu bentuk dorongan semangat kepada mangsa supaya mengembalikan keyakinan mereka meneruskan kelangsungan hidup setelah berdepan musibah yang turut memberi impak besar kepada emosi mereka,” katanya sambil mengucapkan rasa berbesar hati dan bangga kepada anggota masyarakat yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan walaupun musibah ini tidak melibatkan mereka.

"Bila berlaku sesuatu musibah seperti ini, ramai masyarakat turun memberi bantuan tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, sosial mahu pun perbezaan ideologi politik. Semangat perpaduan dan prihatin sesama warga masyarakat terjalin lebih utuh.

"Walaupun, mereka tidak terkena musibah banjir seteruk ini, tapi tempias kedukaan dan kesukaran yang dialami mangsa-mangsa terlibat seakan-akan dikongsi bersama. Keprihatinan warga masyarakat negara ini amat tinggi dan ia adalah satu semangat perpaduan yang sangat jujur.

“Malah, pendekatan prihatin wakil daripada Cameron Highland amat patut dipuji. Walaupun, mereka berdepan kejadian tanah runtuh... mereka tetap turun padang beri sumbangan kepada mangsa yang memerlukan bantuan.

"Apabila berlaku bencana banjir ini... ternampak jelas sikap sebenar masyarakat Malaysia. Kita tetap bersatu dan tidak hanya berpeluk tubuh melihat kesengsaraan yang dialami mangsa. Sebaliknya, apa juga perbezaan yang wujud sebelum ini telah diketepikan demi keselamatan dan kebajikan masyarakat yang dalam kesusahan," katanya.

0 comments:

share2