Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 3, 2014

KUANTAN : UTAMAKAN KESELAMATAN DI MUSIM TENGKUJUH - WAWANCARA RADIO PAHANG FM



Pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi banjir dan sebarang kemungkinan dalam musim tengkujuh. 

Encik Wan Mohd Nazlis Wan Ismail, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang berkata dalam program Bual Bicara anjuran JASA Pahang dan RTM Pahang di Radio Pahang FM bahawa semua cuti anggota Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang akan dibekukan sekiranya berlaku banjir bagi memberi komitmen menjalankan tugas kerja-kerja menyelamat untuk membantu mangsa banjir. 

Bagi persediaan menghadapi banjir, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang telah mengadakan beberapa siri latihan bertujuan menilai kemampuan dan keupayaan semua asset yang akan digunakan sepanjang bencana dan menilai ketahanan diri setiap anggota dalam menghadapi suasana banjir. 

Beliau turut berkongsi pengalaman yang lalu di mana pasukan Bomba dan Penyelamat menghadapi tugas sukar untuk memasuki ke kawasan yang dilanda banjir di Kuantan akibat laluan utama ke lokasi dihalang oleh kenderaan-kenderaan yang diletakkan oleh mangsa-mangsa banjir. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Bomba dan Penyelamat akan membuka Pos Kawalan Hadapan di tiga lokasi yang ditentukan untuk melancarkan operasi penyelamatan. 

“Mangsa-mangsa banjir tidak sepatutnya meletakkan kenderaan di laluan utama” ujarnya. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di musim tengkujuh ini dan tidak mengadakan aktiviti-aktiviti di sungai, air terjun dan kawasan-kawasan berisiko tinggi bagi mengelak dari berlaku kejadian yang tidak diingini. 

Baru-baru ini telah berlaku dua kes kematian lemas di sungai. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin dan berita palsu tentang banjir. 

Beliau kecewa dengan sikap segelintir pengamal media social menaik turun gambar banjir pada tahun lalu di laman facebook dan mengharapkan orang ramai supaya tidak mudah cepat percaya dengan berita yang disebarkan. 

Tegasnya lagi, penyebaran berita tidak benar boleh menimbulkan keresahan kepada orang ramai dan menganggu tugas operasi menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang. 

Akhirnya, beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya mendapat sumber yang benar dan tepat dari pihak yang bertanggungjawab dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa sekiranya berlaku banjir.


0 comments:

share2