Shah Alam - Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan 27 Januari depan untuk serahan dokumen permohonan daftar nikah suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd Zahrullail pada sebutan kali kedua kes itu semalam.
Azrai Izet Mohamad yang diwakili peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin memfailkan permohonan daftar nikah di mahkamah tersebut pada awal November lalu selepas bernikah dengan Suzieliana Zainuddin, 36, untuk kali kedua di Songkla, Thailand.
Azrai Izet, 38, tidak dapat bernikah di dalam negara kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isterinya yang terbabit dalam insiden pesawat MH370, Mac lalu.
Isteri Azrai, Nor Fadzillah Mat Rahim, 39, merupakan salah seorang daripada 239 penumpang pesawat milik Malaysia Airlines itu.
MH370 mengemparkan dunia apabila pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dan dijadualkan tiba di Beijing jam 6.30 pagi pada 8 Mac lalu hilang tanpa dapat dikesan sehingga kini.
Pada 24 Mac iaitu selepas 17 hari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
0 comments:
Post a Comment