Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 21, 2014

PESAWAT HAWK MEMANTAPKAN OPERASI KESELAMATAN SABAH


Tawau: Selaras dengan operasi keselamatan di Wilayah Udara 2 yang meliputi Sabah dan Sarawak, Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah menempatkan skuadron pesawat pejuang di Pangkalan Udara Labuan sejak awal November yang lalu.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Affendi Buang berkata, penempatan pesawat pejuang jenis Hawk sebagai satu inisiatif bagi melaksanakan operasi pemantauan ruang udara di Sabah, Sarawak dan Laut China Selatan. 

“Pesawat pejuang Hawk ini akan dilibatkan secara langsung dalam melaksanakan misi atau operasi udara di Wilayah Udara 2 khususnya dalam memastikan kedaulatan (sovereignty) dan keselamatan negara terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Jumlah pesawat pejuang Hawk akan ditambah dari masa ke semasa secara berperingkat, tambahnya lagi. Operasi TUDM di kedua-dua negeri itu juga turut dimantapkan lagi dengan aset-aset lain seperti pesawat B200T Maritime Surveillance, pesawat angkut C130, pesawat Tanker KC130 dan pesawat helicopter Nuri serta EC725. 

“Penempatan pesawat pejuang Hawk dan pesawat-pesawat tersebut membuktikan komitmen TUDM dan ATM terhadap menjaga keselamatan negara. Ianya membuktikan juga kepada rakyat Sabah bahawa kesiagaan operasi TUDM yang meliputi aspek pesawat, sistem dan persenjataan serta modal insan sentiasa berada di tahap yang terbaik,” Katanya dalam Sidang Media selepas TUDM mengadakan demontrasi pertahanan di lapangan terbang Tawau. 

Sebelum program berakhir, para media diberi peluang menaiki pesawat Nuri dan pesawat EC725 meninjau pulau-pulau di sekitar perairan Sabah. “Satu pengalaman yang sangat berharga dan berbaloi serta dikenang sampai bila-bila”, itu kenyataan spontan oleh wakil media Pahangku selepas menaiki pesawat EC725. 

Media Pahangku juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Menteri Pertahanan YB Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussein kerana memberi peluang kepada Media Pahangku menyertai lawatan ke Sabah ini dan semua petugas TUDM yang memberi layanan yang baik sepanjang program ini berlangsung.

0 comments:

share2