Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 7, 2014

PEKAN: PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DIBUAT SECARA HOLISTIK


PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua projek pembangunan luar bandar akan dilaksanakan secara holistik untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Perdana Menteri berkata selain kemudahan asas seperti perumahan, bekalan air dan elektrik, penduduk luar bandar termasuk kaum Orang Asli perlu disediakan dengan sumber ekonomi yang mampu memberikan pendapatan tetap.

"Kita bangunkan masyarakat luar bandar hari ini, bukan hanya dengan meluluskan projek tertentu sahaja seperti membuat dewan komuniti, jalan raya dan bekalan elektrik serta air, tetapi kita lihat usaha ini mesti dilakukan secara hoslitik atau pakej.

"Maknanya kita tak boleh beri rumah sahaja, tanpa sumber ekonomi, pembangunan itu tidak lengkap, tanpa bekalan air atau bekalan air terputus-putus, ia bukan pembangunan menyeluruh," katanya. 

Najib berkata demikian pada majlis penyerahan kunci rumah baharu kepada 102 penduduk Orang Asli yang menjadi peserta projek membasmi kemiskinan Agropolitan Runchang, Agropolitan Pekan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Runchang di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John.

Najib berkata program Agropolitan Pekan di Runchang yang beliau rasmikan lima tahun lepas adalah contoh terbaik pelaksanaan kosep pembangunan secara holistik itu. 

Katanya selain diberikan kemudahan rumah tiga bilik, peserta juga diberikan peluang pekerjaan menerusi projek penternakan kambing biri-biri dorper dengan pendapatan minimum RM950 sebulan.

Malah Najib, yang juga anggota Parlimen Pekan, berkata penempatan peserta juga dilengkapi dengan kemudahan awam seperti dewan masyarakat, taman permainan, gelanggang futsal, tadika dan surau. 

"Program ini menyeluruh kerana selain dapat rumah yang lebih selesa dan kehidupan komuniti lebih lengkap, kita juga jamin pendapatan bulanan mereka," katanya.

"Kalau dulu pendapatan mereka tidak menentu, mungkin mengikut musim tetapi hari ini dengan projek ternakan kambing dorper ini peserta mampu meraih pendapatan RM950 sebulan," kata Najib. 

Katanya jumlah pendapatan itu mampu meningkat lebih tinggi jika peserta melipat gandakan usaha dan waktu bekerja, sekali gus membolehkan mereka memggunakan pendapatan yang diperoleh untuk tabungan dan pelaburan pada masa depan. 

"Kepada msyarakat Orang Asli saya berharap mereka dapat melihat peluang ini sebagai peluang terbaik untuk menjadi masyarakat di dalam arus pembangunan perdana.

"Kerajaan tidak mahu Orang Asli terasing atau ketersampingan daripada mendapat faedah pembangunan negara, lebih-lebih orang Asli adalah penyokong tegar kerajaan Barisan Nasional (BN)" katanya. 

0 comments:

share2