Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 19, 2014

NAJIB HARAP HARIMAU MALAYA ULANGI KEAJAIBAN



KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan laluan berliku untuk menjulang Piala AFF 2014 tetapi selaku peminat nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak putus harap dan berdoa keajaiban sekali lagi dijelmakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Bagi Perdana Menteri, jika aksi yang ditampilkan sewaktu membaham Vietnam di Hanoi tempoh hari mampu diulangi oleh skuad kendalian Dollah Salleh, beliau optimis Harimau Malaya mampu menjinakkan Thailand sekali gus menjulang piala berprestij tersebut.

Beliau berjanji untuk turut ke stadium bagi memberi sokongan pada perlawanan akhir kedua nanti, dan berharap doa seluruh rakyat akan mengiringi perjuangan skuad negara.

“Malam tadi kita kalah (0-2 kepada Thailand). Insya-Allah saya akan hadir menonton aksi pada Sabtu ini sebagai tanda sokongan kepada Harimau Malaya.

“Mudah-mudahan berlaku sekali lagi keajaiban dan sama-samalah kita mendoakan kejayaan Harimau Malaya,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran sistem pendaftaran keah­lian UMNO secara dalam talian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Dalam final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok kelmarin, skuad bimbingan Dollah tewas menerusi jaringan penalti Charly Chappuis pada minit ke-72, sebelum sekali lagi dihukum oleh jaringan Kroekrit Thawikan, empat minit sebelum masa sebenar tamat.

Meskipun masih ada baki 90 minit untuk diharungi, skuad yang diketuai oleh Shukor Adan perlu bekerja lebih keras untuk mengatasi defisit dua gol yang dimiliki Thailand.

Jika Thailand turun untuk memburu kejuaraan keempat, Malaysia pula mencari trofi ke­dua selepas menang buat kali pertama pada 2010.

0 comments:

share2