Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 4, 2014

KUANTAN: SUAMI DERITA HIDAP KANSER


Mohd Zaili menziarah dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga Rozli Isham yang mengidap barah paru-paru tahap empat selain mempunyai ketumbuhan otak sejak lima bulan.


Kuantan – Berat mata memandang, berat lagi beban bahu yang memikul. Demikian dugaan yang terpaksa dihadapi seorang isteri apabila dia terpaksa bekerja selama 12 jam sehari sebagai seorang pengawal keselamatan demi mendapatkan wang untuk menanggung suaminya yang mengidap kanser paru-paru tahap empat selain masalah ketumbuhan di otak.

Dugaan itu bagaimanapun dilalui dengan penuh tabah oleh Siti Khatijah Abdul Manaf, 41 demi suami dan lapan orang anak berusia antara tiga hingga 18 tahun.

Pendapatannya hanya kira-kira RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan secara kontrak sejak setahun lalu masih mampu menyara keluarga namun dengan gaji itu, dia berdepan masalah untuk menanggung perbelanjaan perubatan suaminya yang tinggi setiap bulan.

Siti berkata, takdir yang menimpa keluarganya bermula selepas sambutan Aidilfitri hujung Julai lalu apabila suaminya, Rozli Isham Nordin, 43, yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan terlibat dalam kemalangan motosikal.

Menurutnya, selepas kemalangan itu, suaminya sering kali terjatuh dari motosikalnya sehingga kali terakhir kecederaan dialami agak serius hingga memaksa dia dirujuk dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak hospital mengesahkan suami saya turut mengidap kanser dan mengalami ketumbuhan di bahagian otak.

“Saya amat terkejut apabila dimaklumkan keadaan sebenar penyakit yang dihidapi suami kerana kami langsung tidak tahu masalah kesihatannya selama ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Perumahan Awam Kos Rendah Panching dekat sini, kelmarin.

Dia berkata, selepas disahkan mengidap penyakit bahaya itu, suaminya tidak lagi mampu untuk bekerja mencari rezeki.

“Dia tidak mampu untuk bergerak dan berjalan tanpa bantuan apatah lagi untuk keluar bekerja mencari rezeki buat kami semua.

“Sebagai isteri saya reda walaupun terpaksa mengambil alih tanggungjawab tersebut demi masa depan keluarga dan anak-anak,” katanya.

Siti Khatijah berkata, dia berhasrat untuk berniaga kuih bagi menambah pendapatan keluarga bagaimanapun hasrat tersebut terpaksa dilupakan ketika ini kerana kesuntukan masa.

“Sebagai pengawal keselamatan saya bekerja 12 jam sehari malah terpaksa menjaga suami dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Menurutnya, dia bangun awal pagi untuk menguruskan suami dan anak-anak sebelum pergi bekerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Panching kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Tengah hari (waktu rehat) saya balik sebentar ke rumah untuk menguruskan makan minum anak-anak dan suami sebelum kembali ke tempat kerja dan pulang ke rumah kira-kira jam 7 petang setiap hari,” katanya.

Dia mengakui agak penat dengan keadaan itu namun bersyukur masih ada ruang waktu untuk suami dan anak-anak walaupun sibuk bekerja.

“Mujurlah jarak perjalanan antara rumah ke tempat kerja agak dekat memudahkan saya membahagikan masa secara bijak antara tugas mencari rezeki serta menguruskan keluarga.

“Saya ada memohon bantuan daripada pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira dua bulan lalu, namun permohonan itu belum diluluskan,” katanya.

“Sekarang ini saya masih mampu bertahan, namun sedikit sebanyak kesulitan itu dirasakan kerana kos perubatan suami agak tinggi,” katanya.

Dia berkata, suaminya juga memerlukan pembedahan yang memerlukan kos tinggi mencecah puluhan ribu seperti yang dianggarkan doktor.

Sementara itu, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, pihaknya akan menguruskan permohonan Siti untuk mendapatkan zakat dan bantuan bulanan daripada (JKM) secepat mungkin.

“Kita prihatin dan akan cuba membantu keluarga ini supaya kebajikan mereka terjaga,” katanya yang turut melawat dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada keluarga Siti.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menghubungi Siti Khatijah di talian 013 7831370 manakala sebarang sumbangan kewangan boleh terus melalui akuan bank 156012298927 (Maybank).

0 comments:

share2