Kuantan - Kerajaan negeri beri jaminan kawasan pelancongan Cameron Highlands selamat dikunjungi pelancong selepas insiden banjir lumpur yang berlaku di Lembah Bertam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, jaminan itu diberikan berdasarkan kepada lokasi pelancongan di kawasan seperti Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang tidak terjejas akibat insiden itu.
Menurutnya, kawasan banjir lumpur hanya melibatkan kawasan Lembah Bertam yang tidak mempunyai aktiviti pelancongan sebaliknya hanya ada penempatan penduduk dan kebun sayur.
“Justeru, pelancongan tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di tanah rata itu sebaliknya mengambil peluang musim persekolahan untuk berkunjung ke sana.
“Bagaimana pun, kita akui berlaku sedikit penurunan jumlah kedatangan pelancong ke pada bulan lalu, namun kita optimis situasi itu tidak berterusan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan 1Malaysia Year End Sale (1MYES) peringkat negeri Pahang, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Tourism Negeri Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin dan Pengurus ECM, Chai Weng Yu.
Mohd Sharkar berkata, pihaknya juga tidak mendapat rungutan daripada pengusaha hotel di Cameron Highlands berhubung kedatangan pelancong ke sana.
Katanya, kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah seramai 350,000 manakala jumlah kedatangan pelancong ke sana pada tahun lalu adalah 728,000.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, jualan akhir tahun yang diadakan itu akan dijalankan di seluruh pasar raya di seluruh negeri pada bulan ini malah pelbagai aktiviti disediakan untuk menarik pengunjung.
0 comments:
Post a Comment