Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 9, 2014

JAUHI FAHAMAN MELAMPAU DEMI KEAMANAN NEGARA - MUHYIDDIN




KUALA LUMPUR, 9 Dis - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keamanan dan keharmonian negara boleh terus dipelihara sekiranya umat Islam menjauhi sikap dan fahaman melampau, serta mengekalkan adab dalam berselisih pendapat.

Timbalan Perdana Menteri berkata oleh itu, umat Islam perlu menjadikan golongan ulama, ahli akademik dan cerdik pandai Islam sebagai contoh teladan dalam mencapai matlamat itu.

"Golongan ini perlu dijadikan contoh dalam mendukung semangat musyawarah, bertukar-tukar fikiran dan berdialog dalam menyelesaikan isu berkaitan umat Islam.

"Ini kerana pertelingkahan sesama umat Islam mutakhir ini boleh dikatakan timbul kerana perbezaan pendapat sehingga menjadi kekacauan yang merungsingkan dan perbalahan yang merosakkan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pemikiran Islam IV di Universiti Malaya (UM) di sini, Selasa. Turut hadir Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Muhyiddin berkata umat Islam juga perlu kembali kepada panduan agama seperti Al-Quran dan Sunnah apabila berselisih pendapat untuk kebaikan bersama dalam melahirkan generasi umat Islam yang cemerlang, cintakan keharmonian dan kedamaian.

Menurutnya umat Islam perlu berwaspada dengan kemunculan pelbagai fahaman melampau dalam kepercayaan dan amalan agama boleh mencetuskan persengketaan sesama mereka sekiranya tidak dibendung.

Fahaman melampau itu menggalakkan budaya ekstremisme, permusuhan, keganasan atas nama Islam, budaya bebas tanpa batasan, liberalisme dan pluralisme agama, katanya.

"Saya percaya prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) jugalah yang menjadi paksi kesatuan dan kekuatan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

"Prinsip dan semangat ini bukan sahaja perlu dihayati umat Islam bahkan penganut agama-agama lain demi keseimbangan dan keharmonian dalam hubungan sesama manusia yang amat ditekankan semua agama.

"Selagi kita tidak bersifat ekstrem, kita akan mampu menjernihkan pemikiran dengan sikap yang positif dan menghargai insan lain seterusnya mengekalkan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara kita," kata beliau.






0 comments:

share2