Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 16, 2014

BENTONG: TERKEJUT TEMUI ANAK GAJAH MATI


Seorang penduduk melihat anak gajah yang mati dipercayai akibat termakan racun.


Bentong - Penemuan anak gajah mati di salah sebuah kebun getah di Telemong mengejutkan penduduk di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Manchis, Lee Ah Kow berkata, kejadian yang berlaku kelmarin itu disedari oleh seorang penoreh getah.

“Ketika penoreh terbabit pergi ke kebun untuk menoreh, dia melihat kawasan kebun musnah diserang gajah dan menemui seekor anak gajah yang telah mati.

“Penoreh terbabit terus mengadu kepada kami dan kami lihat terdapat kesan darah pada belalai dan mulut anak gajah terbabit,” katanya.

Lee Ah Kow berkata, tiada kesan tembakan pada badan anak gajah terbabit, namun mereka mengesyaki kemungkinan anak gajah terbabit mati akibat termakan racun.

“Kita tidak pasti, namun melihat keadaan darah pada mulut dan belalai gajah terbabit kemungkinan ia termakan racun.

“Sekiranya ia termakan racun, ia menimbulkan rasa kesal kami sebagai penduduk setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, beliau menasihatkan kepada mana-mana pemilik kebun agar tidak meletakkan racun bagi menghalau atau menghapuskan kumpulan gajah yang memasuki kawasan mereka.

“Kita tidak mahu lagi melihat kejadian yang sama berulang kerana kita bimbang gajah-gajah terbabit akan mengamuk kesan daripada termakan racun.

“Sekiranya gajah terbabit tidak mati, kita bimbang ia akan berada dalam keadaan separuh sedar dan mengamuk sehingga mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan penemuan sekitar 12 ekor gajah di kawasan sekitar Telemong yang memberikan kebimbangan kepada pekebun dan penduduk sekitar.

Lee Ah Kow berkata, pekebun dan penduduk menggesa agar Ahli Parlimen, Datuk Sri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaacob memikirkan solusi terbaik bagi mengatasi masalah terbabit.

“Kami mencadangkan agar pagar elektrik dibina di sekitar kawasan kebun dan tanah milik penduduk di kawasan ini. Namun ia terpulang kepada ahli parlimen dan menteri besar untuk memikirkan penyelesaian terbaik.

“Namun kami harap, penyelasaian itu dapat dilakukan segera agar tiada lagi kejadian tidak diingini berlaku di kawasan ini,” katanya.

0 comments:

share2