Johor Bahru - Seorang bayi lelaki berusia 34 hari memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan selepas mengalami beberapa komplikasi sejak dilahirkan.
Ismail Zhafran Azizul, yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini, terpaksa menanggung penderitaan selepas dilahirkan tanpa lubang dubur, mengalami pendarahan otak, masalah saraf tunjang dan buah pinggang.
Ibunya Suhaila Adam, 31, berkata, Ismail Zhafran sudah menjalani pembedahan stoma di perut untuk saluran najis selepas dua hari dilahirkan diikuti pembedahan merawat saraf tunjang 10 hari kemudian.
"Ismail Zhafran yang dilahirkan pada 28 Oktober lepas perlu menjalani satu lagi pembedahan dalam masa terdekat bagi merawat masalah buah pinggang," katanya kepada pemberita pada pertemuan anjuran dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Johor dan Belia Saudagar Johor Bahru Selatan di Restoran Banafee Village di sini, semalam.
Surirumah itu, yang tinggal di Taman Medan Jaya, Kota Tinggi, berkata pembedahan stoma dan saraf tunjang yang sudah dilakukan itu belum diketahui kosnya namun, pembedahan buah pinggang dianggarkan berjumlah RM35,000.
Dengan pendapatan suaminya, Azizul Husin, 31, yang hanya RM1,500 sebulan sebagai tukang masak, beliau berkata mereka tidak mampu menanggung kos keseluruhan pembedahan itu.
"Sehubungan itu, saya merayu mana-mana pihak untuk tampil membantu anak bongsu kami," katanya yang juga mempunyai tiga anak lain berusia empat, lapan dan 10 tahun.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi bank CIMB di akaun bernombor 7613231448 atas nama Suhaila Adam atau menghubungi saya di talian 012-7432843 atau 017-7801373.
Sementara itu, Ketua Pengarah JMM, Johor Izzat Muhtar berkata pihaknya akan membantu keluarga Suhaila dengan menyediakan tabung derma di Restoran Banafee Village, beberapa restoran lain serta masjid di sekitar bandar raya ini.
Pengerusi Belia Saudagar Johor Baharu Selatan Nor Zalian Suraya Mohamad pula berkata pihaknya akan menganjurkan program jualan bagi mendapatkan kutipan dan memberi latihan asas penjualan coklat secara dalam talian terhadap Suhaila bagi memperoleh pendapatan sendiri.
0 comments:
Post a Comment