Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 20, 2014

BANJIR DI KUANTAN SEMAKIN BERKURANGAN


Kuantan - Jumlah mangsa banjir di daerah Kuantan terus menunjukkan pengurangan kepada 1,201 orang daripada 357 keluarga tengah hari ini berbanding 1,499 orang daripada 408 keluarga pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebuah pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Fakeh Samad yang menempatkan 233 orang daripada 45 keluarga ditutup pada 11.55 pagi tadi selepas keadaan banjir di kediaman mereka di Taman Tas Jaya kembali pulih.

"Enam pusat pemindahan masih beroperasi antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan menempatkan 893 orang daripada 238 keluarga dari Kampung Pandan 2, Chendering dan Lubuk Puyu.

Katanya, semua laluan utama di daerah itu boleh dilalui semua kenderaan.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di negeri ini tidak banyak berubah tengah hari ini dengan jumlah mangsa 8,368 orang berbanding 8,578 orang pada sebelah pagi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga 1 tengah hari ini, sebanyak 123 pusat pemindahan masih beroperasi selepas banjir gelombang kedua melanda Terengganu sejak enam hari yang lepas.

Menurut laporan itu, di Besut sebanyak 3,257 daripada 1,023 keluarga masih ditempatkan di 45 pusat pemindahan, Dungun merekodkan 2,132 mangsa (576 keluarga) ditempatkan di 30 pusat; 1,553 mangsa (424 keluarga) ditempatkan di 18 pusat di Kemaman; 1,072 mangsa (342 keluarga) ditempatkan di 16 pusat pemindahan di Hulu Terengganu.

Sebanyak 271 orang ditempatkan di 10 pusat di Setiu; 43 orang (11 keluarga) ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Kuala Terengganu dan 21 orang (tujuh keluarga) ditempatkan sebuah pusat pemindahan di Marang.

Sementara itu, bahagian Hidrologi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu melaporkan paras air di beberapa batang sungai utama di negeri ini melepasi tahap bahaya.

Bacaan air Sungai Setiu, di Jambatan Permaisuri, merekodkan bacaan 8.80 meter, melepasi paras bahaya (bahaya 8.22 meter) manakala sungai yang sama di Jambatan Chalok mencatat 8.40 meter (bahaya 8.31 meter).

Paras air sungai juga dilaporkan meningkat ke tahap amaran di beberapa tempat lain.

0 comments:

share2