Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 22, 2014

teKUANTAN: LIMA PENUNTUT KOLEJ DITUDUH EDAR GANJA


Syahmi turut didakwa bersama seorang rakan atas tuduhan mencuri dalam sebuah kedai membabitkan barangan elektronik.


Kuantan - Lima penuntut kolej swasta di sini termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengedar 1.5 kilogram (berat kasar) dadah jenis ganja, 10 November lalu.

Tertuduh, Syahmi Syahir Rosly, 20 dari Taman Pantai Hiburan, Rompin dan rakannya, Muhammad Izzwan Apandi, 20 dari Taman Ixora, Rompin dan Muhammad Zulhilmi Mohd Kamaruddin, 23 dari Dungun, Terengganu mengakui memahami pertuduhan yang dibacakan bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Turut dituduh dua lagi rakan mereka, Sham Ismaniza Shamsuri, 19 dari Jalan Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur dan Nur Aisyah Abd Mutalib, 20 dari Kampung Sabak, Rompin.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Osman Abdullah tidak ditawarkan sebarang jaminan terpaksa ditahan reman sehingga 14 Januari tahun depan yang ditetapkan untuk sebutan laporan kimia.

Sementara itu dalam mahkamah berasingan, Syahmi Syahir Rosly dan seorang rakannya, Ahmad Hazmy Amin Jazlan, 20 dari Chukai, Kemaman turut berdepan tuduhan mencuri dalam sebuah kedai barangan elektronik di Jalan Tun Ismail 9 di sini, 9 November lalu.

Dalam kejadian antara jam 3 hingga 11 pagi itu, tertuduh didakwa mencuri tiga komputer riba, tujuh telefon bimbit jenama Vivo, enam kamera digital GoPro dan tiga beg komputer dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM30,000.

Kedua-dua tertuduh bagaimana pun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa, Inspektor V Munesvaran menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Ahmad Hazmy Amin bagaimana pun Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan jumlah itu dikurangkan kepada RM3,500 selepas tertuduh membuat rayuan.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat telekomunikasi dengan pendapatan RM40 sehari.

Tertuduh juga memaklumkan tiada ahli keluarga yang hadir memandangkan sejak ditangkap dia gagal menghubungi kedua orang tuanya.

0 comments:

share2