Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 22, 2014

SKUAD KUDA TUA?


Skuad kuda tua?


Desas desus mengatakan skuad Hoben Jang Hoben bakal diperkuat pemain veteran musim depan, nyata tidak menggembirakan penyokong setia mereka.

Menurut sumber, berkemungkinan daripada sembilan pemain tempatan baharu yang akan dibawa masuk, enam daripadanya dipercayai berusia antara lingkungan 31 hingga 36 tahun.

Difahamkan, kuda tua yang disebut-sebut bakal menyarung jersi Negeri Sembilan adalah Mohd Helmi Eliza Elias, Ahmad Fauzi Saari, Rudie Ramli, Irwan Fadzli Idrus, Azizi Matt Rose dan Rezal Zambery Yahya.

Itu tidak termasuk lagi beberapa pemain sedia ada seperti Mohd Fauzi Nan, Kim Jin Ryong, Badrulzaman Abdul Halim dan K Nanthakumar, seandainya mereka kekal dalam skuad Jang bagi saingan 2015.

Dalam pada itu, pemain muda digembar-gemburkan berpotensi untuk disunting skuad Rusa pula Mohd Akmal Mohd Noor, Shahrizal Saad dan Jasazrin Jamaluddin, di mana masing-masing berusia 25, 27 dan 28 tahun.

Bagaimanapun, kesahihan perkhabaran ini masih boleh dipersoalkan, selagi mana kehadiran mereka belum diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Tambahan pula, sesi pendaftaran pemain masih dibuka sehingga 5 Disember depan. Justeru, macam-macam boleh berlaku dalam tempoh berkenaan.

TIDAK TERLALU MENGHARAP

Mengulas perkhabaran terbaharu ini, Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun mempunyai pandangan tersendiri.

“Kita harap, perkhabaran tersebut tidak benar. Jelas sekali, ini bukanlah pasukan diimpikan peminat untuk memulihkan reputasi skuad Jang.

“Bukannya hendak menidakkan keupayaan mereka, cuma kita risau faktor usia akan jadi penghalang untuk pemain beraksi dengan baik, apatah lagi bermain selama 90 minit,” katanya.

Menurutnya, status bekas pemain kebangsaan dimiliki tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan perkara tersebut sudah menjadi sejarah silam.

“Memang mereka berpengalaman. Tetapi, itu cerita dahulu ketika masing-masing masih muda dan berada di puncak karier.

“Nampaknya, terpaksalah skuad Hoben Jang Hoben berusaha lebih keras untuk bersaing dengan pasukan lain musim depan. Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya.

0 comments:

share2