Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 10, 2014

RUMAH JADI LOKASI JUDI




Kuala Lumpur: Sindiket kegiatan perjudian kini dikesan menjalankan aktiviti mereka di kawasan kediaman dan bukan lagi premis rumah kedai atau pusat perniagaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ini berikutan serbuan besar-besaran yang dijalankan polis ke atas pusat perjudian di seluruh negara sejak sebulan lalu menerusi Operasi Dadu (Ops Dadu)

Petang kelmarin, Polis Daerah Wangsa Maju, menyerbu satu unit kediaman di Pangsapuri Baiduri, Desa Pandan, di sini, selepas menjalankan risikan berdasarkan maklumat awam mengenai kegiatan perjudian internet sejak seminggu lalu di rumah berkenaan.


Hasil pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Daerah Wangsa Maju, sebanyak empat set komputer mengandungi perisian permainan berbentuk perjudian ditempatkan dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata dalam serbuan sama, pihaknya menahan dua lelaki warganegara Bangladesh, dipercayai penjaga premis berkenaan dan dua pelanggan yang juga rakyat tempatan.

Elak dikesan

"Kita percaya sindiket perjudian yang sebelum ini sering dikesan beroperasi di kawasan premis rumah kedai atau pusat perniagaan, kini beralih ke kawasan kediaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Justeru, pihak polis sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat khususnya penduduk setempat untuk memaklumkan segera kepada polis sekiranya melihat atau mengesan sebarang bentuk perjudian di kawasan mereka untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Jaga premis

Katanya, berdasarkan siasatan awal, rumah yang diserbu itu adalah kediaman yang disediakan untuk pekerja asing mereka yang sebelum ini ditugaskan menjaga premis perjudian, namun sejak Polis Daerah Wangsa Maju menggempur semua premis perjudian, sindiket memindahkan aktiviti mereka ke kawasan berkenaan.

"Kita juga mendapati, sindiket ini menggunakan telefon bimbit sebagai mengganti pelayan internet (server) untuk menjalankan aktiviti perjudian internet di unit kediaman ini, yang berkemungkinan adalah yang pertama di kesan di ibu negara.

"Pihak kami juga akan meneruskan pemantauan berdasarkan maklumat yang diterima sekiranya terdapat sebarang usaha untuk menjalankan aktiviti perjudian di kawasan kediaman atau pejabat," katanya.

Semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka.

0 comments:

share2