Kuantan - Seorang bakal pengantin yang dijangka melangsungkan perkahwinan hari ini antara yang ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi di Kilometer 357 Jalan Raub-Bentong, dekat Raub, kelmarin.
Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya positif dadah.
Ketua operasi, Pegawai Penguat kuasa Trafik dan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, lelaki tersebut difahamkan dalam perjalanan pulang ke kampung dari Negeri Sembilan ke Pasir Mas, Kelantan bagi melangsungkan perkahwinannya.
Menurutnya, dalam operasi selama empat jam itu, 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tujuh warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan lima pengguna jalan raya yang didapati terlibat dalam pengambilan dadah.
“Operasi bersepadu yang dijalankan melibatkan pelbagai agensi ini bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang terus berdegil melanggar peraturan lalu lintas.
“Operasi kali ini melibatkan 40 anggota termasuk pegawai dari beberapa agensi antaranya cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Zainal Abidin berkata, walaupun operasi demi operasi dilakukan untuk menyedarkan pengguna jalan raya berhubung aspek pematuhan undang-undang jalan raya, masih ramai yang terus bersikap sambil lewa terhadap peraturan tersebut.
“Kita dapati masih ramai pengguna jalan raya melakukan pelbagai kesalahan yang sama termasuk melibatkan lesen memandu, lesen kenderaan motor, pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut peraturan dan sebagainya.
“Hasil operasi kali ini, pelbagai kesalahan jalan raya berjaya dikesan dan 70 saman dikeluarkan ke atas pemandu dan penunggang,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah itu akan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta pengguna jalan raya supaya lebih bertanggung jawab dan mematuhi peraturan ditetapkan bukan sahaja untuk mengelak tindakan undang-undang sebaliknya yang lebih penting mengelak berlakunya kemalangan.
“Ada kalanya kerana sikap segelintir pemandu yang tidak bertanggung jawab ini mengakibatkan masalah kepada pengguna jalan yang lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment