Kuantan - Kejadian banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam dan Ringlet di Cameron Highlands lewat petang kelmarin sehingga mengorbankan tiga nyawa setakat ini, harus dijadikan iktibar kepada semua pihak agar menghormati alam sekitar dan tidak melakukan penerokaan secara berleluasa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, walaupun kerajaan negeri sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan namun atas kesilapan manusia yang alpa menyebabkan kejadian banjir lumpur yang pernah melanda kawasan berkenaan tahun lepas berulang kembali.
"Semua pihak telah bersedia untuk hadapi banjir...TNB, pejabat daerah dan Polis Diraja Malaysia, mereka telah jalankan tugas sebaiknya.
"Kita bukan nak lepas tangan...kerajaan negeri akan cuba bagi pelbagai bantuan sewajarnya termasuk bantuan kewangan dan memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat.
"Namun, untuk jangka masa panjang, kita tidak dapat lakukan lagi setakat ini sebab sudah hampir kesemua kawasan itu diteroka, pembangunan tidak teratur, hutan sudah botak dan ini yang menyebabkan banjir lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.
Adnan mengulas kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Ringlet, Cameron Highlands lewat petang semalam yang mengakibatkan lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan dan tiga maut akibat bencana alam itu.
Pada tahun lepas, akibat hujan berterusan, Tasik Ringlet di Lembah Bertam di sini melimpahkan air sehingga menyebabkan banjir lumpur dan mengorbankan empat nyawa serta merosakkan lebih daripada 100 buah rumah.
Mengulas mengenai sama ada peningkatan penempatan baharu di kawasan Lembah Bertam menyumbang kepada berlakunya banjir lumpur semalam, Adnan berkata penduduk di situ terlalu 'sayangkan' rumah mereka sehingga enggan berpindah ke tempat lain.
"Kita pernah nak pindahkan sekolah cina (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lembah Bertam) ke tempat lain, tapi mereka tak mahu. Mereka 'sayangkan' tempat itu.
"Kita tak boleh nak buat apalah cuma kita nasihatkan kalau berlaku banjir pindahkan segera keluarga dan anak-anak mereka ke tingkat atas sekolah berkenaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment