Ke arah memulihara dan mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan pelan tindakan bagi merealisasikannya.
Beliau yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands memaklumkan betapa pelan tindakan itu meliputi pelan jangka pendek dan panjang, termasuk tentang pengawasan projek pembangunan dan aktiviti pertanian serta gejala kehadiran pendatang tanpa izin (PATI) di tanahtinggi ini.
“Usaha ini bukan sahaja untuk memulihara alam sekitar malah mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal dengan kebersihan alam sekitar dan hutan semula jadi yang amat menarik,” katanya seperti dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Tan Sri Muhyiddin berkata demikian pada persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands selama kira-kira tiga (3) jam pada pagi Isnin, 24 November, di sini.
Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir menyertai mesyuarat khas ini ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Perlimen Cameron Highlands, Dato’ Sri G.Palanivel;
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sri Maximus Ongkili; Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Richard Riot; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Shahidan Kassim;
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail; dan, Ketua Pengarah, Jabatan Pertahanan Awam, Datuk Zaitun Ab Samad.
Bagi mengawasi pembangunan di Cameron Highlands, Tan Sri Muhyiddin berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang telah diluluskan sebelum ini, supaya ia dapat diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa.
“Contohnya bagi pembangunan hartanah yang dikemukakan, Kerajaan Negeri bolehlah pertimbangkan atau hadkan penggunaan kawasan yang hendak dimajukan,” katanya.
Mengenai aktiviti pertanian katanya, kawasan tanaman baharu tidak perlu lagi diwujudkan berikutan tanah yang diteroka untuk tujuan pertanian sudah mencapai hampir 8,600 hektar.
0 comments:
Post a Comment