Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 16, 2014

'BOAT ON THE ROAD' JADI PROGRAM ANTARABANGSA TAHUN DEPAN




KUALA TERENGGANU, 15 Nov (Bernama) -- Mulai tahun depan kerajaan Terengganu akan menaik taraf program 'Boat On The Road' (BOTR) ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan peserta dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ini berikutan sambutan pada program tahun ketiga yang diadakan itu mendapat sambutan baik daripada peserta.

"Awal-awal program BOTR dulu ia hanya disertai peserta dalam negeri sahaja, tetapi sekarang ia mampu menarik peserta dari luar negara seperti Kumpulan Dream Chaser Explorer dari England yang menyertai kategori casting.

"Program kali ini turut menampilkan wira Everest negara 2004 Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin yang menyertai dalam kategori boat house, selain peserta daripada agensi kerajaan Terengganu, Jabatan Bomba, Pejabat Setiausaha Kerajaan dan bahagian Pelancongan dan Tourism Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta BOTR ke destinasi Tasik Kenyir di sini lewat petang Jumaat.

Mohd Jidin berkata kerajaan negeri akan menambah baik program itu pada tahun hadapan kerana ia juga mampu memperkenalkan Terengganu ke peringkat antarabangsa.

Katanya tujuan program itu diadakan antara lain selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi yang mampu menjana ekonomi.

"Ia juga bagi memperkenalkan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu sebagai destinasi memancing terbaik di rantau ini dan sebagai destinasi percutian ekopelancongan terkenal," katanya.

Mohd Jidin berkata program yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu, menggalakkan aktiviti gaya hidup sihat melalui sukan rekreasi memancing bersama rakan dan keluarga.

Pada program tiga hari dua malam itu seramai 180 peserta melibatkan 50 pacuan empat roda yang bermula dari Tol Gombak mengambil bahagian untuk merebut hadiah keseluruhan RM73,800.




0 comments:

share2