Shah Alam - Suasana majlis Tilawah al-Quran Murid Pekak anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berlangsung sunyi dengan yang kelihatan hanya isyarat tangan sebagai medium komunikasi di dalam dewan tersebut.
Bagaimanapun yang menariknya, ia disertai seramai 200 peserta terlibat termasuk pegawai dari lebih 13 sekolah pendidikan khas di seluruh negara.
Selain tilawah al-Quran, aktiviti hafazan dan nasyid tangan turut diadakan.
Kebanyakan peserta menggunakan kaedah fakih sebagai medium nombor dan warna bagi golongan istimewa ini membaca al-Quran.
Pengasas Kaedah Fakih, Nor Aziah Mohd Daud berkata, tujuan utama beliau memperkenalkan kaedah itu adalah untuk membantu golongan istimewa memahami serta menghayati al-Quran.
“Al-Quran merupakan syafaat kepada umat Islam. Saya berpendapat, kanak-kanak istimewa yang memahami al-Quran akan dapat memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran dan mereka kelihatan lebih tenang.
“Kanak-kanak itu juga lebih yakin terhadap diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, masih ramai yang kurang peka betapa perlunya individu pekak berupaya menghayati al-Quran.
“Orang pekak sama sahaja seperti kita. Mereka juga mengalami masalah yang sama dengan kita, bahkan lebih banyak lagi. Al-Quran adalah syifa’ (penawar) yang dapat memberi ketenangan apabila jiwa dirundung gelisah.
“Yang pasti, mukjizat al-Quran ini bukan sekadar untuk dinikmati orang tipikal sahaja. Banyak masalah individu istimewa, khususnya golongan pekak, yang boleh diselesaikan dengan al-Quran,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan peserta yang menyertai musabaqah ini terdiri daripada mereka yang sudah mendapat pendedahan kaedah fikah menerusi projek rintis fakih membaca al-Quran.
Sementara itu, pengerusi Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Faqeh), Mohd Zaini Mat Abas berkata, matlamat yayasan ini ditubuhkan adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa, guru, masyarakat dan institusi berwajib mengenai kepentingan
pendidikan al-Quran serta ibadah bagi anak istimewa.
Beliau berkata, penganjuran ini dapat melenyapkan tanggapan bahawa anak-anak istimewa tidak perlu diberikan pendidikan al-Quran.
“Komuniti Muslim Malaysia mahupun di benua lain sedikit terkebelakang dalam memenuhi keperluan individu istimewa dalam masyarakat.
“Satu program dakwah di media elektronik yang mendapatkan khidmat juru bahasa isyarat untuk memudahkan kefahaman orang pekak, iaitu program 30 Minit Bersama Ustaz Don,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan sokongan semua pihak dalam membantu agar komuniti senyap tidak terasa dipinggirkan oleh masyarakat normal.
0 comments:
Post a Comment