Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 16, 2014

RASUAH: DUA ANGGOTA POLIS, TIGA PENGUATKUASA DBKL DIDAKWA SPRM


Rasuah: Dua anggota polis, tiga penguatkuasa DBKL didakwa SPRM


Kuala Lumpur: Dua anggota polis termasuk tiga penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara lima individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kelima-lima mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) dan seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di atas kesalahan meminta dan menerima rasuah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tiga penguatkuasa DBKL -- Mohd Nasir Danuri, 45, Mohamad Rezuan Chan, 41, dan Ja’afar Ibrahim, 57 -- telah didakwa bersama dengan kesalahan meminta secara rasuah wang tunai RM2,000 dan RM500 pada 22 Oktober 2012 daripada pemilik Restoran Suria Teh Tarik, Chew Hian Tat, kerana tidak memiliki lesen premis perniagaan yang sah.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nasir dan Mohamad Rezuan didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,000 daipada pemilik restoran yang sama pada 24 Oktober 2012.

Ketiga-tiga mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 13 Nov ini.

Manakala Sarjan Shaharuddin Abd Shukor, 54, didakwa di atas kesalahan memperoleh rasuah wang tunai RM300 dari seorang individu, Harcharanjit Singh, sebagai satu dorongan untuk memastikan siasatan dijalankan bagi sebuah repot polis yang dibuat pada 1 Nov 2013 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Shaharudin mengaku tidak bersalah. Rosbiahanin membenarkan Shaharudin diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 14 Nov ini.

Di dalam mahkamah yang berasingan, Lans Koperal Muhammad Nazruldin Chee Chau Vui, 34 didakwa menerima suapan wang tunai RM800 bagi melindungi kegiatan haram penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan Lanny Ong Boon Hsien pada 4 Jun 2013 di restoran McDonald's di Taman Connaught.

Muhammad Nazruldin juga mengaku tidak bersalah.

Hakim Alaudin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Nov ini.

Jika didapati bersalah, kelima-lima tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

0 comments:

share2