Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 9, 2014

PEKAN: SUAMI ISTERI RENTUNG DALAM KEMALANGAN



Pekan - Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini menjadi yang terakhir buat sepasang suami isteri setelah terbunuh dalam kemalangan ngeri yang turut mengakibatkan kedua-duanya rentung di Kilometer 16, Jalan Pekan-Rompin dekat Sungai Miang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang anggota tentera dan isteri terperangkap dalam kereta mereka yang terbakar.

Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 4.45 pagi ketika Lans Koperal Mohd. Safiuddin Mohd. Sezali, 26, yang memandu kereta Proton Persona bersama isterinya, Nor Farina Rosli, 26, dalam perjalanan pulang selepas bercuti dari kampung lelaki itu di Setiu, Terengganu ke Kem Mahkota, Kluang, Johor.

Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dikatakan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres membawa seramai 32 penumpang.

Bas itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuala Terengganu. Pertembungan tersebut mengakibatkan kereta berkenaan terbakar sebelum api yang marak menyambar bas itu pula.

Mohd. Safiuddin bertugas di 8 Skuadron, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan berasal dari Kampung Pancur Merah, Setiu, Terengganu manakala Nor Farina pula dari Melor, Kota Bharu, Kelantan serta bekerja sebagai jururawat di Klinik Desa Sungai Sayong, Kluang.

Pemandu kedua bas tersebut, Norfaizanaton Hashim, 40, berkata, mereka baru sahaja memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu selepas berhenti rehat di kawasan rehat berhampiran.

"Selepas memulakan perjalanan, tiba-tiba saya terhantuk ke depan akibat pertembungan dengan sebuah kereta dan keadaan mulai kelam kabut. Tidak lama selepas itu ada asap dalam bas.

"Saya terus mengarahkan kesemua penumpang supaya keluar ikut pintu belakang, ada yang terpaksa kami tarik keluar kerana terlalu takut. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi meletup sebelum bas dan kereta terbakar," katanya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahya Othman berkata, pasangan itu dijumpai rentung akibat terperangkap dalam kereta mereka yang terbakar oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, pemandu bas dan kesemua penumpang bagaimanapun terselamat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pekan di sini, hari ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

share2