Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 17, 2014

PADK NAFI TAHAN REMAJA HAMIL


Kisah pelajar ditahan dan hamil tersebar luas di Facebook.


Padang Serai - Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) menyangkal hebahan dibuat oleh satu akaun Facebook menyatakan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditahan bersama teman lelakinya berusia 28 tahun yang merupakan seorang warga asing, di Tamah Mahsuri, Rabu lalu.

Ketua Penguatkuasa PADK, Azmi Rejab berkata, kenyataan dibuat berbaur fitnah dan sehingga kini tidak ada laporan dibuat mengenai tangkapan tersebut.

Semakan juga mendapati, PADK tidak menerima sebarang aduan mana-mana pihak mengenai pasangan terlibat.

“Aduan pun tak ada, macam mana PADK hendak membuat tangkapan dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kes ini kepada mana-mana pihak.

"Kami telah menerima banyak panggilan, bagaimanapun menafikan tentang tangkapan itu," katanya.

Beliau berkata, ia merupakan satu kenyataan palsu dan tidak bertangungjawab.

"Saya menasihatkan kepada mana-mana pihak supaya jangan memuat turun sebarang maklumat palsu mengenai tangkapan dibuat PADK sewenang-wenangnya.

"Ini merupakan satu kesalahan serius dan PADK boleh mengambil tindakan terhadap individu serta kumpulan terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Andullah Arshad berkata, sehingga kini tidak ada laporan polis dibuat mengenai tangkapan melibatkan pelajar berusia 15 tahun di Kulim.

Menurutnya, perbuatan menyebarkan berita palsu itu sebagai satu perkara yang tidak bertanggungjawab.

“Teknologi maklumat yang ada masa kini harus digunakan dengan cara betul. Menyebarkan maklumat palsu merupakan satu kesalahan dan ia boleh didakwa di mahkamah," katanya.

Terdahulu, heboh diperkatakan di laman sosial Facebook mengenai seorang pelajar perempuan ditangkap di rumah teman lelakinya oleh PADK.

Selepas ditahan, pelajar itu telah dibawa ke Hospital Kulim untuk membuat pemeriksaan dan mendapati dia hamil enam minggu.

0 comments:

share2