Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 18, 2014

KUANTAN: KERJASAMA DBP-PBT TINGKATKAN MARTABAT BAHASA KEBANGSAAN

YAB Dato' Sri DiRaja Haji Adnan Bin Haji Yaakob menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Universiti Malaysia Pahang semalam
KUANTAN - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan segera bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi menyekat penggunaan bahasa tidak bersifat kebangsaan di taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi daripada terus berleluasa.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP Abdul Khalik Sulaiman berkata bagi tujuan itu DBP akan menganggotai jawatankuasa khas audit ejaan papan iklan di PBT dan setiap permohonan baharu membabitkan ejaan pada papan tanda dan iklan akan dipantau sebelum pemasangan diluluskan.

PBT juga, katanya, perlu mendapat pengesahan daripada DBP terlebih dahulu sebelum sesuatu nama atau iklan itu diluluskan.

"Bagaimanapun, kita hanya boleh memberi pandangan dan khidmat nasihat sahaja kepada mereka (PBT)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat negeri Pahang di Universiti Malaysia Pahang kampus Gambang di sini pada Jumaat oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Isu penggunaan nama bersifat tidak kebangsaan bagi taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014 di Putrajaya, Selasa lalu.

Muhyiddin dalam ucapannya itu meminta semua PBT lebih bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan citra bahasa di tempat awam menerusi Undang-undang Kecil Pengiklanan yang sudah menggariskan keutamaan bahasa kebangsaan pada papan iklan, nama perniagaan, tempat, bangunan dan paparan awam lain.

0 comments:

share2