KUALA LUMPUR (Bernama) -- Boleh dikatakan hampir saban hari pelbagai berita dan kisah tragis mengenai 'kesan hutang' mengisi dada akhbar mahupun menjadi antara topik hangat paparan media elektronik.
Lebih mengejutkan lagi apabila Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2013 mendapati nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi paras 86.8 peratus.
Peratusan ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar hutang isi rumah tertinggi di rantau Asia Pasifik bagi tahun itu!
Biar apapun di sebalik kenyataan itu, tidak dinafikan berhutang bukanlah menjadi satu kesalahan malahan tidak ada larangan pun untuk itu. Konteks kehidupan hari ini juga, adalah sesuatu yang mustahil bagi seseorang individu membayar barang tertentu secara tunai.
Bagaimanapun, yang menjadi masalah apabila ada antara mereka yang terlupa mengukur baju di badan sendiri sehingga berbelanja melebihi kemampuan, kata Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohamad Fazli Sabri.
Akibat tersalah percaturan, boleh dikatakan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang sehingga ada yang akhirnya diisytihar muflis!
Akan tetapi, belumpun reda mencari jalan penyelesaian senario peningkatan hutang isi rumah, agak mengejutkan apabila hasil kajian Mohamad Fazli mendapati tabiat itu kini merebak dalam kalangan kanak-kanak!
Satu penemuan yang tidak pernah diduga sama sekali, katanya kepada Bernama.
MEMBIMBANGKAN
Agak menggusarkan, apabila kajian yang mengambil masa selama dua tahun itu mendapati 80 peratus kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sudah terjebak dengan budaya memberi hutang dan berhutang!
Kajian itu dijalankan pada Ogos 2012 membabitkan 800 responden dalam kalangan pelajar tahun empat dan tahun lima meliputi lima buah negeri.
Dipilih mengikut zon, kajian itu melibatkan dua buah sekolah di setiap negeri iaitu Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah bertujuan mengkaji tahap literasi, kompetensi dan sosialisasi murid sekolah rendah mengenai kewangan.
"Penemuan 80 peratus itu, adalah sama ada mereka pernah meminjamkan wang kepada rakan ataupun meminjam wang daripada rakan. Agak mengejutkan kerana perkara ini sepatutnya tidak berlaku.
"Menjadi persoalan, bagaimana kanak-kanak ini sudah pandai berhutang? Saya rasa ini membimbangkan dan perlu diambil perhatian jitu", katanya.
SIMPANAN MENYEDIHKAN
Menegaskannya sebagai satu keadaan serius sekiranya tidak dibendung segera kerana akan mengakibatkan kanak-kanak ini membesar dan mengadaptasikan budaya hutang dalam kehidupan seharian.
Dan, ada kemungkinan besar menyumbang kepada peningkatan jumlah golongan diisytiharkan muflis, kata Mohamad Fazli.
Rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan kepada rekod Jabatan Insolvensi Malaysia ialah 122,169 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri baru-baru ini menyuarakan kebimbangannya berhubung peningkatan dalam bilangan belia yang diisytiharkan muflis, dengan 579 daripada 12,381 orang yang diisytiharkan muflis dalam enam bulan pertama 2014 terdiri daripada golongan belia.
"Ini baru sekolah rendah dan mereka kalau hendak meminjam sepatutnya timbul rasa malu. Tetapi mereka sudah tidak rasa apa-apa pun, jadi saya rasa ada sesuatu tidak kena di sini.
"Kita tidak mengatakan ia satu kesalahan, tetapi mereka masih muda. Sepatutnya, pada usia sebegitu mereka memperbanyakkan simpanan", katanya.
Biarpun kajian itu mendapati majoriti telah mempunyai akaun simpanan namun amalan menyimpan dalam kalangan responden adalah tidak begitu memuaskan. Ini kerana, hanya 11.7 peratus sahaja didedahkan dengan kebaikan menyimpan pada usia bawah tiga tahun.
Kebanyakannya, mula diberi pendedahan menyimpan pada usia lebih tujuh tahun selain tidak mempunyai tabiat simpanan yang tetap, jelas beliau.
BOROS BERBELANJA
Mengapa mereka berhutang? Apakah puncanya? Dan, apakah yang menarik perhatian mereka sehingga perlu berhutang? Mengulas persoalan ini, beliau berkata semuanya berpunca daripada sikap 'boros berbelanja'.
Tahap pengetahuan kewangan kanak-kanak yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara mana keperluan dan kehendak.
Ini kerana, kajian itu mendapati lebih satu pertiga responden mengklasifikasi telefon bimbit sebagai satu daripada keperluan yang wajib mereka miliki.
Malahan, hampir 60 peratus responden sudah memiliki telefon bimbit. Walhal, dalam umur sedemikian telefon bimbit bukanlah satu keperluan.
"Disebabkan mereka tidak dapat membezakan keperluan dan kehendak, ada yang mempunyai matlamat menyimpan untuk membeli telefon bimbit dan pelbagai jenis gajet.
"Memiliki gajet pelbagai ini, tanpa adanya kawalan boleh menyumbang kepada sikap boros berbelanja. Contoh, dia mungkin menghabiskan wang sakunya untuk menambah nilai kad prabayar", katanya.
Menjadi masalah, apabila sanggup meminjam wang rakan untuk tambah nilai kerana takut meminta daripada ibu bapa, jelas beliau.
Keseronokan mengakses internet selain terpengaruh mengundi talian, pemberian gajet adalah sesuatu bahaya sekiranya tidak dikawal, kata beliau.
PENGUATKUASAAN
Selain itu, beliau melihat penjualan makanan dan minuman di luar perkarangan sekolah antara punca kanak-kanak ini boros berbelanja. Mereka cenderung membeli aiskrim, jeruk, makanan ringan, nugget goreng dan burger yang mudah didapati di luar sekolah.
Ada juga yang tertarik membeli sesuatu makanan ringan itu semata-mata ingin memiliki permainan.
"Menyedihkan, apabila mendapat tahu ada kanak-kanak sanggup tidak makan masa rehat kerana ingin berbelanja di luar pagar sekolah. Makanan seperti nugget, aiskrim bukannya murah, jadi tidak mustahil ada berhutang kawan", katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan ibu bapa dalam permasalahan ini tetapi adalah sewajarnya mereka mula mendidik anak dengan pengetahuan kewangan yang mudah.
Ibu bapa juga, seharusnya menyelidiki ke mana wang saku anak mereka dan sekiranya ada lebihan budaya menyimpan perlu digalakkan.
"Tidak ramai ibu bapa yang bertanya kepada anak mereka ke mana perginya wang saku sekolah. Sedangkan ia sangat mudah dan paling asas tetapi tidak diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
"Ini kerana, dari situ kita dapat menilai apa yang dilakukan anak. Jika membeli sesuatu peralatan sekolah, suruh mereka tunjukkan. Ini bagi mengelakkan mereka daripada berbohong dan berhutang", katanya.
0 comments:
Post a Comment