Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 31, 2014

BANJIR, PUTING BELIUNG BUKAN KESAN LETUSAN SUAR MATAHARI




Fenomena letusan suar matahari yang dikesan Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), pada 21 Oktober lalu disifatkan paling besar pernah berlaku dan kejadian itu dicatatkan secara purata 11 tahun.

Lebih menakjubkan letusan itu berukuran sebesar 12 kali saiz bumi atau sebesar Planet Musytari. Imej tompok hitam itu direkodkan terbesar dan aktif di kawasan aktif (AR) 2192 di pinggir timur permukaan matahari pada jam 10 pagi pada Selasa.

Memahami konsep terjadinya letusan itu, Koordinator ONL, Mhd Fairos Asillam, menerangkan kejadian letusan suar matahari itu umpama air yang mendidih dalam cerek berikutan kehadiran elemen panas di bawah cerek.


Apabila air menggelegak pada suhu maksimum 100 darjah celsius, muncung cerek mengeluarkan wap menerusi proses kondensasi dan seterusnya menjadi titisan air apabila sejuk.


                                     Gambar NASA menunjukkan letusan matahari.

"Kejadian ini boleh menggambarkan fenomena letusan suar matahari yang dikenali tompok matahari, berpunca daripada kelajuan pergerakan dan ketidakseimbangan medan magnet bintang itu di bahagian kutub dan Khatulistiwa matahari," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Imej letusan suar matahari itu dirakam menggunakan Teleskop Celestron C11 dan Kamera CCD Skynyx 2-2M dengan saiznya berukuran 12 kali ganda ukur lilit bumi atau sejauh 125,000 kilometer.

Kitaran aktif aktiviti matahari

Mhd Fairos berkata, kitaran aktif aktiviti matahari lazimnya berlaku dalam selang tempoh antara 11 hingga 13 tahun yang dicerap menggunakan teleskop optik dari bumi dan menerusi pencerapan secara berterusan oleh saintis.

"Letusan matahari menyemburkan zarah dan gas bertenaga tinggi ke angkasa lepas. Kekuatan letusan itu berskala X iaitu kelas terkuat, namun arahnya tidak menuju tepat ke bumi. Daripada analisa dan ramalan, tompok AR2192 akan bergerak ke arah tengah matahari dan seterusnya ke barat permukaan matahari

.
   Medan magnetik bumi menghalang kesan ribut suria.

"Kekuatan letusan dijangka berkurang ke kelas M iaitu berskala sederhana. ONL dan agensi angkasa lepas antarabangsa akan terus memantau aktiviti tompok hitam AR2192 dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini," katanya.

Sejarah letusan suar matahari mula dikesan menerusi cerapan pada tahun 1843 oleh ahli astronomi Jerman, Samuel Heinrich Schwabe dan sehingga yang paling terkini, sudah 24 letusan suar matahari dikesan.

Setiap tompok matahari diberi pengenalan dengan sistem kod AR iaitu kawasan aktif (Active Region) dan diikuti nombor.

"Pada 22 Oktober lalu, kekuatan letupan turun pada kelas sederhana iaitu M7 dikesan menerusi Satelit Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA). Bagaimanapun, dalam tempoh dua hingga tiga hari ini ia akan menurun lagi sebanyak 60 peratus," katanya.


          Fenomena langit bercahaya berasal dari zarah matahari menghentam medan magnet bumi.


Fenomena langit bercaya

Berikutan itu, fenomena langit bercahaya (aurora) dijangka berlaku yang mana zarah matahari menghentam medan magnet bumi di kawasan latitud tinggi iaitu di kawasan sejuk seperti di Kutub Utara dan Kutub Selatan dalam tempoh 12 hari ini.

"Peramal solar dan ahli astronomi akan terus memerhatikan letupan ini. Meskipun ia tidak akan memberi sebarang kesan langsung kepada bumi, tetapi kita mesti berhati-hati terutama untuk melindungi aset di orbit seperti satelit," katanya.

Mhd Fairos berkata, kesan lain yang dijangka sepanjang tempoh itu ialah gangguan kepada lapisan ionosfera bumi yang boleh mengganggu kelancaran sistem komunikasi berfrekuensi tinggi seperti penggunaan radio amatur dan aplikasi lain yang berkaitan dengannya. 

"Ketika aktiviti itu, pemilik satelit juga dinasihatkan menukarkan mod satelit kepada mod senyap," katanya.

Nafi bumi bergelap tiga hari

Dalam perkembangan sama, ANGKASA dalam kenyataannya semalam menafikan kononnya bumi bakal bergelap selama tiga hari berturut-turut pada 21, 22 dan 23 Disember depan yang disebarkan di laman sosial termasuk Whatsapp dan Facebook.

"Khabar angin ini mengatakan kejadian ini adalah disebabkan oleh ribut suria yang dihasilkan oleh matahari pada hari berkenaan. Untuk makluman, ribut suria daripada matahari tidak menyebabkan kejadian siang atau malam, jauh sekali menyebabkan bumi bergelap.



"Malah, bumi juga dilindungi oleh medan magnet (magnetosphere) yang menyebabkan kesan sebarang ribut suria dibelokkan (deflected) dan menjadi lemah sebelum sampai ke bumi. Apabila baki ribut ini memasuki atmosfera bumi, ia ternyah cas sebagai aurora di hemisfera utara dan selatan," katanya.

Menyentuh perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail, berkata cuaca yang tidak menentu termasuk banjir dan puting beliung yang melanda negara baru-baru ini, bukanlah kesan secara langsung fenomena itu.

Pada masa ini, katanya, Malaysia tidak terjejas kerana berada pada latitud yang rendah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jika suar berlaku terlalu kuat, gelombang sistem telekomunikasi terganggu.

"Dari segi cuaca pula, jika berlaku perubahan iklim hanya terjejas dalam kadar yang sedikit iaitu panas cahaya matahari yang berubah-ubah. Orang ramai tidak perlu bimbang dengan fenomena ini kerana kesan agak minimum kerana kedudukan bumi yang jauh dari matahari," katanya.

0 comments:

share2