Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 12, 2014

JERANTUT : MAYAT BAYI DITEMUI DIHURUNG SEMUT

Keadaan mayat bayi yang ditemui di hadapan tandas balai raya Kampung Simpang Tebing Tinggi, kelmarin.



JERANTUT – Penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi di sini gempar dengan penemuan mayat bayi perempuan di hadapan tandas balai raya kampung berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Pengerusi masjid kampung berkenaan, Mohd Taufek Shamsudin, 65, berkata, mayat bayi yang hanya beralaskan sehelai kain itu dijumpai oleh orang awam yang hendak menggunakan tandas berkenaan sebelum bertindak memanggil penduduk kampung.

“Ketika dimaklumkan kejadian berkenaan saya sedang menyelaras kerja penambakan perkarangan masjid kampung ini sebelum bergegas ke balai raya untuk melihat bayi berkenaan.

“Saya sedih melihat mayat bayi yang telah dihurung semut dan terbiar begitu sahaja tanpa diselimuti kain,” katanya di sini, semalam.

Mohd Taufek berkata, berdasarkan siasatan pihak polis menganggarkan bayi berkenaan berusia kira-kira seminggu berdasarkan tali pusat bayi itu yang telah kering.

Menurutnya, kejadian tersebut disifatkan sebagai kejam kerana bayi perempuan tersebut cukup sifat dan kelihatan sihat dari segi fizikal telah dibiarkan di situ oleh individu yang tidak berhati perut.

“Saya rasa ini bukan perbuatan orang tempatan tapi mungkin orang luar yang mahu membuang bayi di kawasan itu kerana berdekatan dengan kubur kampung ini yang sunyi.

“Kita berasa kesal dan kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang bayi di kawasan ini dan berharap pihak polis dapat menangkap mereka untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azid Ismail, berkata pihaknya telah menerima laporan tersebut dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang telah membantu kejadian itu.

“Kejadian ini amat menyedihkan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bayi itu tanpa perasaan kasih sayang,” katanya.





0 comments:

share2