Parit Buntar - Seorang petani tidak menyangka berjaya menangkap spesies jarang ditemui apabila mata kailnya disambar ikan mulut buaya atau Alligator Gar yang dikenali dengan nama saintifiknya, Atractosteus Spatula ketika memancing di Jambatan Sultan Idris, di sini awal pagi semalam.
Shahrul Nizam Ahmad, 23, berkata, dia pergi memancing di jambatan itu bersama seorang adik dan tiga rakan pada kira-kira jam 3.30 pagi sebelum mengesan kelibat seekor ikan berbentuk pelik yang sering timbul di atas permukaan air dalam tempoh 15 minit.
Menurutnya, hanya berbekalkan sinaran lampu limpah yang terdapat di jambatan tersebut, dia cuba mengenal pasti spesies hidupan air tersebut dan pada mulanya menyangka ia adalah ikan arapaima.
“Teruja untuk menangkap ikan itu, saya segera menukar mata kail yang digunakan kepada mata kail paling besar dan mencampakkannya ke lokasi ikan itu sering timbul.
“Sebaik sahaja ikan itu timbul, saya segera merentap mata kail ke badan ia dan berjaya menaikkan ikan itu ke atas jambatan dalam tempoh setengah jam,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Shahrul Nizam berkata, sebaik sahaja menaikkan ikan tersebut ke darat, dia dan rakan-rakannya terkejut apabila mendapati ia Alligator Gar.
Menurutnya, dia dapat mengenal pasti spesies sebenar ikan itu setelah terbaca kisah penemuan spesies sama di Bukit Merah, Gunung Semanggol tahun lalu yang disiarkan dalam akhbar.
“Sebelum meletakkannya ke dalam satu bekas khas, saya turut mengukur panjang ikan mulut buaya itu, lebih kurang tiga kaki dengan anggaran keberatan 300 hingga 600 gram.
“Kami terkejut namun bersyukur kerana ikan spesies jarang ditemui itu berjaya ditangkap oleh kami sebagai hasil tangkapan sulung awal pagi ini (semalam),” katanya.
Shahrul Nizam berkata, dia segera membawa pulang ikan itu ke rumahnya di Kedai Empat, Titi Serong dan menyimpannya di dalam sebuah tong besar.
Katanya, sejak berita kejayaannya menangkap ikan mulut buaya tersebar, rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung yang mahu melihat sendiri hidupan air itu.
“Buat masa ini, saya hanya merancang memelihara ikan ini terlebih dahulu, tetapi jika terima tawaran berpatutan, saya tidak keberatan untuk menjualnya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment