Seri kembangan – Degil! Pengusaha empat restoran yang pernah diberi amaran terakhir oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) September lalu didapati masih gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu (PBT).
Akibatnya, lesen keempat-empat premis masing-masing dua di Taman Equine serta dua lagi di Puchong Jaya dibatalkan dan premis disita, Khamis lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, empat restoran berkenaan kerap melakukan kesalahan dan melanggar syarat lesen ditetapkan meski sudah beberapa kali diberi amaran sebelum ini.
Muhammad Azli berkata, pihak majlis terpaksa berulang kali mengambil tindakan atas kesalahan pengusaha menggunakan tempat letak kereta untuk meletakkan kerusi, meja serta gerai makanan.
Perkara itu katanya, menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas dan halangan kepada pengguna jalan raya dan pengunjung.
Pengusaha juga didapati membuka gerai melampaui jumlah dibenarkan dalam restoran hingga mencemar longkang awam serta menjejaskan kebersihan.
Berdasarkan rekod, dua daripada premis pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebanyak 11 kali manakala dua lagi sebanyak enam kali untuk tahun ini sahaja.
“Majlis sudah serahkan notis pembatalan lesen. Premis diarah ditutup dan pengusaha diminta mengemukakan surat menyatakan alasan mengapa tindakan pembatalan lesen tidak boleh diambil terhadap mereka dalam tempoh tujuh hari,” katanya.
Gerai dan peralatan kerusi meja yang diletakkan di luar kawasan premis turut dirampas.
Beliau berkata, pengusaha dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil Tred Pelesenan, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.
Di bawah undang-undang berkenaan, lesen perniagaan boleh dibatalkan sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan.
Katanya lagi, MPSJ menggalakkan peniaga menjalankan perniagaan di kawasan perbandaran namun golongan itu perlu bertanggungjawab mematuhi syarat lesen dan peraturan ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment