Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 13, 2014

TULANG SOTONG SUMBER REZEKI


Anak Jamaluddin, Mohd Khairul Nizam, 12, menunjukkan tulang sotong katak yang digunakan tukang kraf perak atau emas untuk membuat acuan bagi menghasilkan barangan kemas.

Marang - Marang sememangnya kaya dengan hidupan laut. Selain menjadi sumber makanan, ia boleh dimanfaatkan bagi menambah pendapatan penduduk tempatan.

Seorang nelayan pantai, Jamaluddin Zainol, 60, berkata, sudah menjadi rutin hariannya mengutip tulang sotong jenis katak yang terdampar di sepanjang pantai sekitar Kampung Rhu Rendang, di sini, setiap awal pagi.

Menurutnya, tulang sotong katak itu dijual antara 50 sen hingga RM1 sekeping, mengikut saiz manakala hasil jualan yang diperoleh walaupun tidak banyak dapat digunakan bagi menampung kehidupan keluarganya.

“Walaupun bukan pendapatan utama saya, bolehlah buat duit tambahan, lagipun saya tak ada bot sendiri, hanya tumpang rakan pergi menangkap ikan," katanya.

Jamaluddin berkata, dahulu tulang sotong katak mudah didapati dan dalam sebulan dia boleh kumpul sehingga 100 keping.

Bagaimanapun katanya, kini dia sudah jarang keluar mengutipnya kerana tulang sotong katak semakin berkurangan biarpun permintaan terhadapnya semakin meningkat khususnya daripada tukang emas dan perak.

Tulang sotong katak biasanya digunakan tukang kraf perak atau emas untuk menghasilkan acuan barangan kemas.

Seorang tukang perak, Saidi Omar, 46, berkata, proses membuat acuan dimulakan dengan mengeringkan tulang sotong katak sebelum dibersihkan.

Katanya, selepas itu permukaan tulang dilicinkan dengan kertas pasir sebelum kepingan logam berbentuk bulat seperti cincin dilekapkan padanya sebagai ukuran untuk membuat acuan.

"Seterusnya, tulang sotong itu dipotong kepada tiga bahagian kecil untuk dijadikan satu acuan yang lengkap manakala sejenis pelekat digunakan untuk melekatkan potongan kecil tulang menjadi acuan yang dikehendaki.

“Apabila acuan tulang sotong sudah dibentuk, barulah leburan bahan perak dituang ke dalam acuan berkenaan sebelum cincin yang terbentuk di dalamnya dibuka selepas 10 hingga 15 minit lalu dikilatkan,” katanya.

Saidi berkata, penggunaan tulang sotong katak lebih mudah kerana cepat dibentuk menjadi acuan yang dikehendaki, malah kosnya lebih murah berbanding acuan menggunakan kayu.

Bagaimanapun dia mengakui tulang sotong katak kini sukar didapati, namun katanya, ia tidak menjejaskan operasi perniagaannya.

0 comments:

share2